Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Hael Husaini ‘Selesa’, bakal beraksi di Korea Selatan

Hael Husaini mempertaruhkan single Selesa dan bersiap mewakili Malaysia di ROUND Festival serta Wish Bus Korea pada 8 November.

W
Wawan Wartawan Senior
November 5, 2026 • 6:31 AM 3 min read • 14 views
Hael Husaini ‘Selesa’, bakal beraksi di Korea Selatan

Hael Husaini tampil dengan single Selesa hasil ciptaan bersama Iqie Hugh.

MENGHASILKAN sesebuah karya bukan sekadar tentang melodi yang dekat di telinga, tetapi juga bagaimana sesuatu cerita dapat diterjemahkan menjadi sebuah lagu yang meninggalkan kesan kepada pendengar.

Pendekatan itulah yang sering mendasari karya-karya Hael Husaini, termasuk single terbaharunya, ‘Selesa’, hasil ciptaan bersama Iqie Hugh.

Menerusi single ini, penyanyi dan komposer berusia 39 tahun itu memilih untuk mengetengahkan penceritaan yang dekat dengan realiti kehidupan.

OCT_Aphrodax (2)Advertisement

‘Selesa’ menyentuh tentang pengorbanan dalam percintaan, khususnya apabila seseorang terpaksa melepaskan insan yang disayangi demi kebahagiaan individu tersebut bersama orang lain.

Berkongsi mengenai penghasilan lagu berkenaan, Hael melihat ‘Selesa’ sebagai sebuah karya yang cukup dekat dengan pengalaman emosi dalam sesebuah hubungan.

“Bagi saya, ‘Selesa’ ialah sebuah lagu yang sangat dekat dengan realiti kehidupan. Ada masanya, kita terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat dia bahagia, walaupun akhirnya kita sendiri yang terluka.

“Apa yang lebih menyakitkan apabila kita terpaksa membantu orang yang kita sayang untuk bahagia dengan orang lain, sedangkan kita tahu kebahagiaan itu bukan lagi milik kita.

“Saya harap lagu ini dapat mewakili perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini dan menjadi teman kepada mereka yang sedang belajar untuk melepaskan,” kata Hael dalam kenyataan mengenai single terbaharunya.

Kulit single Selesa nyanyian Hael Husaini.
Selesa menjadi taruhan terbaharu Hael, mengangkat kisah pengorbanan dan kepedihan melepaskan insan tersayang.

Selain disampaikan menerusi susunan muzik dan lirik, kisah dalam lagu itu turut divisualkan menerusi video muzik rasmi yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Video muzik arahan Prialangga itu menampilkan pelakon popular tanah air, Anna Jobling, bersama dua pelakon sinetron Indonesia yang semakin mendapat perhatian, Antoni Blanco Junior dan Mahdy Reza.

Menariknya, ‘Selesa’ turut dipilih sebagai runut bunyi utama drama bersiri ‘Suamiku Anak Mak’ yang menampilkan Emma Maembong, Keith Foo, Izzue Islam dan barisan pelakon lain.

Single ini tersedia di semua platform penstriman digital sejak 30 Oktober lalu, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.

Persiapan ke ROUND Festival

Dalam perkembangan lain, Hael bakal membuat persembahan di ROUND Festival di Namdong Gymnasium, Incheon, Korea Selatan pada 8 November ini. Festival dua hari itu berlangsung pada 7 dan 8 November dengan menampilkan pemuzik Korea Selatan serta negara Asia Tenggara.

Peluang tersebut disifatkannya sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna, apatah lagi apabila diberi kepercayaan untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Sudah tentu saya sangat teruja dan bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di ROUND Festival di Korea. Ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi juga sebagai wakil yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa,” kata Hael.

Hael Husaini menyanyi dalam persembahan terdahulu.
Hael dalam persembahan terdahulu. Penyanyi itu bakal mewakili Malaysia di ROUND Festival di Korea Selatan pada 8 November.

Menjelang festival tersebut, Hael turut berkongsi persiapan yang diatur bagi memastikan persembahannya berjalan lancar.

“Persiapan sedang dilakukan dari segi vokal, susunan persembahan dan pemilihan lagu supaya saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton di sana.

“Saya berharap dapat berkongsi muzik dan identiti seni saya dengan peminat baharu, di samping membawa pulang pengalaman yang berharga daripada festival ini,” kata Hael.

Selain beraksi di ROUND Festival, Hael turut dijadualkan membuat kemunculan sulung menerusi Wish Bus Korea di lokasi sama pada 8 November, menurut pengumuman Wish 107.5. Acara itu turut menampilkan 10CM, KAIA dan Lee Seung Yoon sebagai tetamu studio muzik bergerak berkenaan.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement