WARSAW, 3 November 2026 — Sekurang-kurangnya empat penerbangan menuju ke Poland, Sepanyol dan Bulgaria menerima ancaman bom pada Selasa, mencetuskan pemeriksaan keselamatan serta penutupan sementara Lapangan Terbang Warsaw-Modlin.
Semua pesawat dilaporkan mendarat dengan selamat. Penerbangan terjejas melibatkan syarikat LOT Polish Airlines, SAS, Ryanair dan El Al.
Di Poland, pesawat LOT dari London Heathrow yang sepatutnya menuju ke Warsaw-Chopin dilencongkan ke Warsaw-Modlin selepas menerima amaran bom.
Menurut Reuters, Boeing 737 MAX yang membawa 181 orang itu mendarat pada 10.01 pagi waktu tempatan.
Sebuah lagi pesawat SAS dari Copenhagen turut menjalani pemeriksaan selepas mendarat di Warsaw-Chopin, yang meneruskan operasinya.
Warsaw-Modlin kemudian dibuka semula selepas ditutup sementara, namun kawasan menempatkan pesawat dari London masih diasingkan untuk pemeriksaan keselamatan, menurut laporan susulan The Guardian.
Di Sepanyol, ancaman bom terhadap penerbangan Ryanair dari Manchester menyebabkan pengendali lapangan terbang, Aena mengaktifkan protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Murcia.
Pesawat itu mendarat mengikut jadual sebelum pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan, menurut Europa Press.
Seramai 114 penumpang dan tujuh anak kapal turun dari pesawat untuk pemeriksaan keselamatan. Pasukan pemusnah bom TEDAX, polis, anggota bomba dan petugas perubatan turut dikerahkan.
Di Bulgaria, pesawat El Al dari Israel ke Sofia turut dilaporkan menerima ancaman. Radio Nasional Bulgaria mengesahkan pesawat dari Israel mendarat selepas ancaman melalui e-mel, memetik pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Lyubomir Nikolov.
Unit khas antikeganasan memeriksa pesawat berkenaan bagi mengesan kemungkinan bahan letupan, menurut laporan agensi berita Bulgaria yang disiarkan DarikNews.
Nikolov berkata, pihak berkuasa bertindak mengikut protokol bagi setiap laporan yang diterima.
Sehari sebelumnya, penerbangan Wizz Air dari London Luton ke Sofia dilencongkan ke Budapest selepas menerima ancaman bom dan diiringi pesawat pejuang Hungary.
“Tiada bom ditemukan di dalam pesawat,” kata Ketua Komunikasi Korporat Wizz Air, András Rádó dipetik dari penyiar Bulgaria, BNT, selepas pemeriksaan dijalankan.








