Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

VALORANT Patch 13.10 tampil dengan pelbagai perubahan baharu

Riot Games memperkenalkan penanda detik penting dalam ulang tayang, pelarasan kebolehan ejen dan pembaikan pepijat.

A
Aim Wartawan Senior
November 14, 2026 • 8:29 AM 5 min read • 31 views
VALORANT Patch 13.10 tampil dengan pelbagai perubahan baharu

Visual VALORANT Patch 13.10. – Riot Games

CALIFORNIA, 14 November 2026 — Pemain VALORANT bakal menikmati pengalaman pertempuran lebih dinamik apabila Riot Games memperkenalkan pelbagai pembaharuan menerusi Patch 13.10, termasuk ciri merakam detik penting perlawanan serta penyesuaian kebolehan ejen.

Kemas kini yang diumumkan pada 10 November lalu turut menyaksikan pelarasan tempoh cooldown beberapa kebolehan ejen Sentinel, perubahan sistem pemberian assist serta pembaikan pelbagai pepijat melibatkan ejen, peta dan sistem permainan.

Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah Replay Bookmarking, membolehkan pemain menandakan detik penting ketika perlawanan berlangsung sebelum menontonnya semula dengan lebih mudah.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Penanda berkenaan hanya boleh dilihat oleh pemain yang menciptanya dan tidak akan dipaparkan kepada pemain lain walaupun mereka menonton Replay yang sama.

Bagi pengguna PC, pemain boleh menetapkan butang pintasan sendiri menerusi Settings, Controls, Interface dan Replay Bookmarking, manakala pengguna Console boleh menggunakan butang baharu dalam Options Menu ketika berada dalam permainan.

Riot Games turut melakukan pelarasan terhadap tempoh cooldown beberapa kebolehan ejen Sentinel bagi menggalakkan persaingan taktikal lebih seimbang antara kedua-dua pasukan.

Cooldown selepas kebolehan dimusnahkan bagi Spycam milik Cypher, Turret milik Killjoy dan Arc Rose milik Vyse dikurangkan daripada 60 kepada 45 saat.

Bagaimanapun, cooldown untuk Cypher mendapatkan semula Spycam selepas menariknya kembali ditingkatkan daripada 15 kepada 20 saat, selaras dengan tempoh kebolehan ejen Sentinel lain.

Bagi Sage pula, ketepatan sasaran Healing Orb ketika digunakan untuk merawat rakan sepasukan dipertingkatkan. Pemain kini turut dapat melihat crosshair ketika memilih sasaran bagi mengurangkan risiko tersalah menyembuhkan rakan.

Perubahan turut melibatkan sistem pemberian assist yang sebenarnya telah diperkenalkan dalam Patch 13.08, tetapi tidak dimasukkan dalam nota kemas kini ketika itu.

Menerusi pelarasan berkenaan, pemain kini boleh memperoleh assist dengan memberikan lebih daripada 10 mata kerosakan kepada musuh dalam tempoh tiga saat sebelum rakan sepasukan berjaya membunuhnya.

Pemain juga masih layak menerima assist sekiranya memberikan sekurang-kurangnya 50 mata kerosakan kepada musuh yang kemudian dibunuh rakan sepasukan, tanpa mengira bila kerosakan itu diberikan.

Bagi Healing Assist pula, ia hanya diberikan sekiranya pemain yang menerima rawatan berjaya mendapatkan kill dalam tempoh 10 saat selepas kesan penyembuhan tamat.

Mod Gauntlet: Glitched antara penambahbaikan terbesar dalam Patch 13.10 apabila pemain kini boleh memasuki matchmaking secara berkumpulan sehingga lima orang, dengan padanan lawan ditentukan secara rawak.

Selain itu, beberapa kebolehan baharu untuk Hush, Cypher, Veto dan Waylay turut ditambahkan ke dalam pilihan draft.

Bagi Hush, pemain boleh memilih peningkatan Flow menerusi Prone to Flight yang memberikan caj tambahan, manakala Go the Distance meningkatkan kekuatan tarikan.

Kebolehan Displacement pula menerima Tug of War untuk caj tambahan serta Habit Forming yang membolehkan kebolehan dicas semula dengan tempoh cooldown semakin pendek.

Cypher turut menerima dua peningkatan Spycam iaitu Dart Maniac yang membolehkan kamera dicas semula dan menembak dart penjejakan dengan lebih kerap, serta Always Watching yang menggandakan jarak sasaran dan menjadikan dart lebih sukar ditanggalkan.

Hush, ejen VALORANT yang ditampilkan dalam video rasmi permainan.
Hush, ejen VALORANT yang ditampilkan dalam video rasmi permainan. – Riot Games

Veto menerima peningkatan Cannon Fodder untuk mempercepatkan pengecasan semula Interceptor, manakala Long-term Assignment memanjangkan tempoh aktif kebolehan itu.

Bagi Waylay, HODL memanjangkan tempoh untuk kembali ke lokasi beacon menggunakan Refract, sementara Déjà vu membolehkan kebolehan tersebut dicas semula dengan cooldown yang semakin singkat.

Riot Games turut membawa kembali dua glitch popular sebagai sebahagian daripada pilihan baharu dalam mod berkenaan.

Cypher Spycam melalui peningkatan Extreme Supervision kini boleh menggunakan senjata Classic dan bukannya menembak dart penjejakan. Senjata itu kemudiannya boleh dinaik taraf kepada Sheriff.

Sementara itu, Skye Trailblazer melalui peningkatan Give a Dog a Gun turut boleh menggunakan Classic yang boleh dinaik taraf kepada Frenzy, sekali gus menggantikan peningkatan Greatest Dane.

Hush juga boleh menggunakan kebolehan muktamadnya, Suspension, dalam mod Gauntlet: Glitched. Kebolehan itu membolehkan pemain melancarkan projektil berpandukan arah sendiri.

Pemain boleh mengaktifkannya semula untuk membuatkan pemain lain terapung di lokasi projektil itu mendarat.

Selain kandungan baharu, Riot Games turut mengubah beberapa peningkatan sedia ada bagi menjadikan lebih banyak pilihan kebolehan kompetitif.

Antara perubahan dilakukan termasuk Blaze – Quickburn yang tidak lagi mengalami pengurangan panjang dinding pada tahap kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, cooldown pengecasan semula ditingkatkan daripada 15 kepada 20 saat pada tahap kedua, serta enam kepada 10 saat pada tahap ketiga.

Boom Bot – Overclocked pula menerima pengurangan kelajuan pergerakan daripada 150 kepada 125 peratus pada tahap kedua.

Tempoh aktifnya turut dikurangkan daripada lapan kepada tujuh saat pada tahap kedua dan 12 kepada 10 saat pada tahap ketiga.

Beberapa peningkatan lain turut menerima perubahan, termasuk Contingency – Redundancy, Fakeout – Reprint, Prowler – Herding Cats, Prowler – Chonky Cat, Stim Beacon – Quick Hits, Stim Beacon – The Good Stuff, Trapwire – Broadband dan Trapwire – Data Network.

Blast Pack – Packs a Punch pula menerima peningkatan kerosakan ketika diaktifkan daripada 60 kepada 75 pada tahap kedua, serta 125 kepada 145 pada tahap ketiga.

Antara perubahan lain ialah Slow Orb – Blanket of Slow yang meningkatkan kesan perlahan sebanyak 10 peratus pada tahap kedua dan 25 peratus pada tahap ketiga.

Updraft – Trampoline turut menerima tempoh pengecasan semula baharu, manakala Wingman – All Grown Up menggandakan jumlah kesihatan pada tahap ketiga.

Patch 13.10 turut menyelesaikan pelbagai pepijat melibatkan ejen, peta dan sistem permainan.

Antara pembaikan utama ialah isu kesan visual Suspension milik Hush yang sebelum ini boleh kekal pada senjata atau Spike selepas kebolehan tamat, termasuk sehingga pusingan seterusnya.

Riot Games turut membaiki beberapa isu interaksi kebolehan melibatkan Yoru, Phoenix dan Raze ketika pemain berada dalam keadaan terapung akibat Suspension.

Bagi Phoenix, isu yang membolehkannya menerima assist daripada Blaze selepas tempoh pemberian assist tamat turut diselesaikan.

Sage pula tidak lagi boleh menyembuhkan rakan sepasukan menggunakan Healing Orb tanpa mempunyai garis penglihatan terhadap mereka.

Beberapa isu melibatkan Viper dan Vyse turut diperbaiki, termasuk masalah dialog suara Viper serta kesan visual Steel Garden milik Vyse yang tidak dipaparkan dengan betul dalam keadaan tertentu.

Dari aspek peta, pembaikan dilakukan pada Ascent, Breeze, Corrode, Haven, Split, Summit dan Sunset bagi mengatasi isu kebolehan yang menembusi struktur, terhalang oleh objek kecil atau tersembunyi di sebalik persekitaran.

Pengguna PC turut menerima pembaikan isu melibatkan Rendezvous milik Chamber dan Turret Killjoy selepas penggunaan Round Rollback dalam Custom Game.

Sementara itu, pengguna Console menerima pembaikan berkaitan getaran pengawal ketika menggunakan Cyber Cage milik Cypher dan Healing Orb milik Sage, selain pembetulan ikon Recon Bolt yang tersalah dipaparkan dalam Combat Report bagi kerosakan daripada Shock Bolt milik Sova.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement