JAKARTA, 19 Oktober 2026 — Pasaran saham Indonesia terus menjunam pada Isnin ketika rupiah menghampiri rekod terendah dalam sejarah, susulan kebimbangan pelabur terhadap kemungkinan negara itu disingkirkan daripada indeks pasaran sedang pesat membangun MSCI.
Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) ditutup susut 3.64% kepada 4,996.60 mata, selepas sempat merosot sehingga sekitar 4,907 mata sepanjang dagangan, menurut Bisnis.com.
Dalam pasaran mata wang, Reuters melaporkan rupiah melemah kepada Rp18,048 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dagangan, menghampiri rekod terendah Rp18,190 yang dicatatkan pada Jun.
Tekanan jualan saham berlaku secara meluas apabila 656 kaunter ditutup rendah, berbanding 100 meningkat dan 43 tidak berubah.
Kesemua 11 sektor saham mencatatkan penurunan, diterajui sektor bahan mentah yang merosot 4.57%, diikuti infrastruktur sebanyak 4.45%. Nilai transaksi keseluruhan mencapai sekitar Rp25.15 trilion, menurut Databoks yang memetik data RTI Business.
Antara saham utama yang terjejas ialah Bank Rakyat Indonesia yang susut 3.79%, Bank Mandiri sebanyak 0.88% dan Telkom Indonesia sebanyak 6.84%.
“Tekanan jualan berterusan apabila pelabur mengelakkan aset berisiko di tengah-tengah rancangan MSCI untuk mengubah klasifikasi pasaran saham Indonesia,” menurut pasukan penyelidikan Pilarmas Investindo Sekuritas, dipetik dari Bisnis.com.
MSCI sedang mempertimbangkan perubahan status Indonesia daripada emerging market kepada standalone market, susulan kebimbangan terhadap ketelusan pemilikan saham dan corak perdagangan. Perubahan itu belum dimuktamadkan, menurut Reuters.
Bagi membendung turun naik pasaran, Bursa Efek Indonesia (BEI) mengecilkan had penurunan harga harian saham melalui mekanisme auto rejection bawah daripada 15% kepada 7%, berkuat kuasa Isnin.
Menurut Bisnis.com, langkah itu akan dilaksanakan sehingga akhir tahun bagi membantu pelabur membuat keputusan ketika pasaran berdepan tekanan.
Sebelum ini, IHSG menjunam kira-kira 11.6% pada Jumaat, kejatuhan harian paling buruk sejak krisis kewangan Asia pada 1998, selepas amaran MSCI mencetuskan penjualan besar-besaran, menurut The Wall Street Journal.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Saham Indonesia jatuh lagi, amaran MSCI tekan pasaran ke paras terendah enam tahun










