SINGAPURA, 19 Oktober 2026 — Saham Indonesia merosot ke paras terendah dalam tempoh enam tahun pada Isnin apabila amaran penyedia indeks global, MSCI Inc. (MSCI) mengenai kemungkinan penyingkiran daripada indeksnya terus menekan sentimen pelabur.
Indeks saham utama Jakarta jatuh lebih 5 peratus dalam dagangan awal, menyusuli kejatuhan 11.6 peratus pada Jumaat, menurut laporan Reuters yang disiarkan CNA.
Bursa Efek Indonesia (BEI) pada Isnin mengecilkan had penolakan automatik bawah daripada 15 peratus kepada 7 peratus, selepas pertemuan hujung minggu antara pengawal selia dengan peserta pasaran modal.
Langkah itu bertujuan memberi pelabur “peluang menilai dan menghadam maklumat yang tersedia”, kata BEI dipetik dari CNA.
MSCI sedang mempertimbangkan cadangan mengubah klasifikasi Indonesia daripada pasaran sedang pesat membangun kepada pasaran kendiri. Kenyataan rasmi MSCI menyebut kebimbangan mengenai ketelusan pemilikan saham, kegiatan dagangan terkoordinasi yang disyaki dan keberkesanan penguatkuasaan.
Cadangan pengelasan semula itu belum dimuktamadkan. MSCI menerima maklum balas sehingga 30 April 2027 dan akan mengumumkan keputusan pada atau sebelum 30 Jun 2027.
MSCI menyatakan bahawa ia menjangka meneruskan cadangan tersebut kecuali rundingan menemukan bukti penambahbaikan ketara dalam tadbir urus dan fungsi pasaran yang membolehkan pendiriannya dipertimbangkan semula.
Sebelum ini, dalam semakan klasifikasi pasaran pada Jun, MSCI sudah membangkitkan kebimbangan pelabur institusi tentang kebolehlaburan pasaran saham Indonesia.
Pihak berkuasa Indonesia kemudian mengumumkan pembaharuan termasuk pendedahan pemegang saham dengan pegangan melebihi satu peratus, pelaporan penumpuan pemilikan dan pelan menaikkan minimum saham apungan awam kepada 15 peratus.
Bagaimanapun, MSCI menyatakan pelabur institusi mahu melihat pelaksanaan yang konsisten serta bukti kesan ketara dan berkekalan daripada pembaharuan berkenaan.
Sementara rundingan berjalan, MSCI mengekalkan pembekuan sedia ada terhadap beberapa perubahan berkaitan indeks bagi sekuriti Indonesia sehingga notis selanjutnya, menurut kenyataan sama.
Artikel Berkaitan Terdahulu:








