KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 — Kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan menerusi perancangan kecerdasan buatan (AI), dengan peningkatan kemahiran tenaga kerja sebagai antara tumpuannya.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, AI, pendigitalan dan automasi perlu dimanfaatkan bagi menyusun semula ekonomi serta memperluas industri bernilai tinggi.
“Cabarannya bagaimana kita meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi untuk memudahkan ataupun meningkatkan kecekapan tenaga kerja,” kata Akmal Nasrullah dipetik dari BERNAMA.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut Akmal Nasrullah, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan bahagian pekerjaan mahir meningkat kepada 35 peratus menjelang 2030, berbanding 30.1 peratus pada 2025.
Kerajaan akan memperkukuh pensijilan, peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui kerjasama sektor awam, industri serta akademia.
Sebelum ini, kajian Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) pada November 2024 mendapati 90 peratus pekerjaan kekal relevan melalui penyesuaian kemahiran, manakala 10 peratus berdepan impak automasi atau perubahan fungsi, menurut penjelasan Akmal Nasrullah.
Akmal Nasrullah memaklumkan 17 MyMahir Future Skills Talent Council (MyMahir FSTC) telah ditubuhkan, dipengerusikan penggiat industri bagi mempergiat kerjasama pembangunan bakat.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
100,000 lesen Coursera ditawarkan, rakyat dapat akses percuma tiga bulan
Pengilang digesa percepat automasi, sasar kurangkan pekerja asing menjelang 2030
Dasar Gaji Progresif naikkan pendapatan 50,000 pekerja
Malaysia mahu naik taraf industri cip: Siapa akan mengisi pekerjaan bernilai tinggi?
Ledakan AI buka ribuan peluang kerja, tetapi adakah graduan Malaysia benar-benar bersedia?
Malaysia menang dalam ledakan AI dunia, tetapi berapa lama kelebihan itu bertahan?







