ISKANDAR PUTERI, 25 Oktober 2026 — Johor menyasarkan tambahan kapasiti penjanaan solar kira-kira 5 gigawatt (GW) menjelang 2030 atau 2031 untuk menampung permintaan elektrik pusat data dan industri berskala besar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, inisiatif itu melibatkan projek 4 GW di Kota Tinggi dan Mersing serta 1 GW di Segamat, menurut Bernama pada Ahad.
Projek di Kota Tinggi dan Mersing dijangka bermula secara berfasa pada pertengahan 2029, katanya.
Lee berkata, 65 projek pusat data mengikut plot tanah telah diluluskan. Sebanyak 21 pusat data yang beroperasi dijangka menggunakan hampir 1.1 GW, manakala projek dalam pembinaan atau perancangan memerlukan tambahan 4 hingga 5 GW.
“Semua cadangan pembangunan pusat data perlu mendapatkan kelulusan jawatankuasa ini terlebih dahulu,” kata Lee.
Beliau merujuk Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor, yang menilai cadangan sebelum permohonan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa tempatan, termasuk kecekapan penggunaan kuasa.
Sebelum ini, laporan Nusa Times pada 20 Oktober memetik unjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bahawa permintaan maksimum elektrik industri pusat data di Semenanjung boleh mencapai 8,391 megawatt (MW) menjelang 2030.
Johor dijangka mencatat permintaan 4,428 MW dan Selangor 1,481 MW berdasarkan perancangan bekalan elektrik tersebut.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Permintaan elektrik pusat data Semenanjung diunjur cecah 8,391MW pada 2030
[Belanjawan 2027] Siapa menanggung kos bekalan air dan elektrik pusat data?










