RIYADH, 9 Oktober 2026 — Ratusan penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dibatalkan pada Khamis susulan gangguan keselamatan dan serangan yang didakwa kumpulan Houthi, sementara beberapa syarikat penerbangan menggantung perkhidmatan ke ibu negara Arab Saudi.
Lebih 275 penerbangan dibatalkan pada Khamis, melibatkan kira-kira 40 peratus ketibaan dan 30 peratus pelepasan berjadual, menurut Associated Press (AP) yang memetik data pemantauan FlightAware.
Financial Times pula melaporkan 188 pembatalan menjelang pertengahan petang Khamis berdasarkan data syarikat analitik penerbangan Cirium. Pihak lapangan terbang menasihatkan penumpang menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mengesahkan status perjalanan sebelum menuju ke terminal.
Lufthansa Group menggantung penerbangan ke Riyadh sehingga 16 Oktober. Air India dan Akasa Air menghentikan perkhidmatan sehingga Sabtu, 10 Oktober, manakala IndiGo sehingga Jumaat, 9 Oktober.
Sebuah penerbangan Air India dari Delhi ke Riyadh turut berpatah balik ke Delhi pada Khamis sebelum dibatalkan atas pertimbangan keselamatan.
“Kami sedang memantau keadaan dengan teliti,” kata Air India dalam kenyataannya dipetik dari AP.
Houthi pada Khamis mendakwa menyerang lapangan terbang berkenaan menggunakan peluru berpandu balistik. Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pihak Saudi memaklumkan bahawa serangan terdahulu di lokasi sama mengorbankan seorang.
Pihak Saudi tidak segera mengesahkan dakwaan serangan terbaharu tersebut, menurut Reuters.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pesawat milik Saudia dilaporkan mengalami kerosakan teruk selepas terbakar ketika berada di terminal, menurut tiga sumber yang mengetahui kejadian itu kepada Reuters.
Sumber berkenaan menyatakan pesawat itu dipercayai tidak membawa penumpang ketika kejadian, namun kemungkinan kecederaan belum dapat diketepikan.
Reuters mengesahkan video yang menunjukkan kepulan asap hitam dan api di lapangan terbang tersebut. Bagaimanapun, punca tepat kerosakan pesawat, sama ada serpihan pemintasan atau hentaman projektil lain masih belum dipastikan.
Pejabat media kerajaan Saudi, pihak berkuasa penerbangan awam dan Saudia tidak memberikan respons kepada permintaan ulasan Reuters ketika laporan itu diterbitkan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Houthi serang lapangan terbang Riyadh dengan peluru berpandu balistik
Serangan dua lapangan terbang Arab Saudi ragut tiga nyawa, 36 cedera







