TAIZ, 17 Oktober 2026 — Penduduk Taiz berdepan keadaan semakin genting apabila pertempuran menyekat laluan bekalan dan akses rawatan, dengan hanya lima daripada 27 hospital yang ditetapkan untuk perkhidmatan kecemasan ibu serta bayi masih berfungsi sebahagiannya.
Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan lebih 147,600 wanita dan remaja perempuan usia reproduktif di bandar itu terputus akses kepada rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa.
Menurut agensi itu, kekurangan bahan api, bekalan perubatan dan petugas kelahiran terlatih meningkatkan kos rawatan serta mengancam perkhidmatan kesihatan reproduktif.
“Setiap hari perkhidmatan yang menyelamatkan nyawa tidak dapat dicapai, wanita dan remaja perempuan menghadapi risiko lebih besar terhadap kesihatan, keselamatan dan kelangsungan hidup mereka,” kata Wakil UNFPA di Yemen, Francesco Galtieri dipetik dari kenyataan agensi itu.
UNFPA menganggarkan lebih 13,100 wanita hamil tidak dapat mengakses perkhidmatan kesihatan ibu di Taiz, termasuk sekitar 1,500 yang dijangka bersalin dalam dua minggu akan datang.
Sekurang-kurangnya 500 dijangka memerlukan rawatan kecemasan obstetrik dan bayi baru lahir.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan bersama 32 pertubuhan kemanusiaan pada Jumaat memberi amaran bahawa pertempuran semakin sengit mengganggu jalan utama, mengehadkan pergerakan penduduk dan menjejaskan akses makanan, air serta bantuan.
Pertubuhan berkenaan melaporkan stok ubat, peralatan perubatan dan bahan api berada pada paras kritikal, mengancam rawatan kecemasan, pembedahan, penjagaan intensif, dialisis serta perkhidmatan bayi baru lahir.
Gangguan pengangkutan bekalan komersial turut menyebabkan kekurangan makanan, gas memasak dan bahan api, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap keluarga yang sudah kehilangan pendapatan.
Kenyataan itu menggesa semua pihak memastikan laluan selamat bagi penduduk, ambulans, petugas kesihatan dan penghantaran barangan keperluan.
Sebelum ini, pertempuran yang kembali meningkat di pesisir barat Yemen sejak awal September memaksa ramai penduduk meninggalkan kediaman, menambah tekanan terhadap komuniti tuan rumah serta perkhidmatan asas di Taiz.
UNFPA menyatakan kemasukan keluarga yang berpindah dari pesisir barat memburukkan lagi keadaan, ketika agensi kemanusiaan berdepan kesukaran mengekalkan perkhidmatan kesihatan dan perlindungan. Agensi itu menyeru akses bantuan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Houthi dakwa tawan Al-Hanjar, pintu masuk barat Taiz
62 pejuang dilaporkan terbunuh dalam 24 jam, pertempuran sekitar Taiz semakin sengit
Houthi dilapor semakin menghampiri Taiz, serangan meluas di sekitar bandar
Pertempuran meluas sekitar Taiz, Houthi sekat laluan utama ke Aden
Pertempuran sengit di sekitar Taiz, laluan utama ke Aden terputus







