KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2026 — Sebahagian muatan gas petroleum cecair (LPG) Iran didakwa melalui pemindahan kapal ke kapal dekat Malaysia, menurut Reuters yang memetik data penjejakan serta penganalisis maritim.
Laporan pada Jumaat itu memetik analisis kumpulan advokasi United Against Nuclear Iran (UANI) bahawa sekurang-kurangnya lapan kapal membawa LPG Iran meninggalkan Teluk Oman sejak pertengahan Julai.
Dalam laporan berasingan bertarikh 7 Oktober mengenai pemantauan September, UANI menyatakan tiga kapal kecil membawa gabungan 1.52 juta tong LPG dan metanol Iran telah melintasi garisan sekatan Amerika Syarikat (AS) pada bulan berkenaan.
“Angka eksport UANI dikira apabila kapal tangki melintasi garisan sekatan AS yang diisytiharkan, bukannya ketika pemuatan,” menurut UANI dalam laporan itu.
Laporan tersebut menyatakan angka bagi September merujuk tiga penghantaran berasingan dan bukannya aliran eksport berterusan. UANI turut melaporkan tiada pemuatan minyak mentah dikesan di hab eksport Iran sepanjang bulan itu, dengan pemuatan terhad kepada produk bukan minyak mentah.
Bagi kawasan labuh Eastern Outside Port Limits (EOPL) berhampiran Malaysia, UANI menyatakan imej satelitnya merekodkan lapan operasi pemindahan kapal ke kapal sepanjang September. Dua melibatkan LPG Iran, manakala enam lagi melibatkan minyak mentah Iran, menurut laporan itu.
UANI turut menyatakan simpanan minyak mentah terapung di EOPL telah berkurangan sepanjang September. Organisasi itu melaporkan pemindahan minyak mentah tersebut dianggarkan berjumlah sembilan juta tong, dengan destinasi akhir kilang penapisan bebas di China.
Bagaimanapun, seorang pegawai tentera AS memberitahu Reuters bahawa laluan sesebuah kapal tidak semestinya bermaksud ia meloloskan sekatan. Setiap kapal dinilai berasingan dan ada yang dibenarkan atas alasan kemanusiaan.
Sebelum ini, UANI dalam laporan sama menyatakan sekatan maritim AS terhadap kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran dikuatkuasakan semula pada 14 Julai.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Iran didakwa serang kapal untuk kekalkan harga minyak tinggi menjelang pilihan raya AS
Iran sifatkan respons AS terhadap syarat pembukaan Hormuz tidak mencukupi
ASEAN bincang keselamatan tenaga ketika perang Iran ganggu bekalan
Kapal tangki terkena projektil tidak dikenal pasti di Selat Hormuz







