KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2026 — Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menyatakan penggunaan Waze secara berterusan oleh rakyat Malaysia telah membekalkan maklumat pemetaan negara kepada aplikasi itu, termasuk lokasi sensitif yang tidak dimasukkan dalam peta awam.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, input pengguna selama bertahun-tahun membantu melengkapkan maklumat laluan serta lokasi dalam sistem aplikasi navigasi berkenaan.
“Kita tak nafikan memang data itu ada dengan mereka, termasuk lokasi yang mungkin selama ini tidak diletakkan dalam peta, kawasan sensitif,” kata Megat Zuhairy pada Sabtu.
Beliau berkata, maklumat daripada pengguna menjadikan Waze mempunyai pangkalan maklumat yang besar mengenai lokasi dan pemetaan di Malaysia.
Menurutnya, langkah menyekat penggunaan aplikasi itu penting bagi melindungi pergerakan strategik negara pada masa hadapan.
Dalam soalan lazim rasminya, NACSA menjelaskan data lokasi yang dikumpulkan secara berulang berpotensi mendedahkan corak pergerakan apabila dianalisis secara agregat.
Agensi itu turut menyatakan tiada bukti Waze menjalankan analisis sedemikian terhadap penggunanya, tetapi kemungkinan data digunakan atau terdedah kepada analisis itu tetap dianggap risiko yang perlu dipertimbangkan.
Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan arahan larangan penggunaan Waze kepada anggota perkhidmatan awam susulan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara pada Selasa.
Dalam perkembangan terdahulu, Waze menafikan dakwaan mengumpul maklumat sensitif kerajaan Malaysia dan menyatakan perlindungan data penggunanya tertakluk kepada dasar privasi yang ketat, menurut laporan Nusa Times pada Jumaat.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Waze nafi kumpul maklumat sensitif kerajaan Malaysia
NACSA perinci risiko data lokasi di sebalik larangan Waze
Penjawat awam dilarang guna Waze, rakyat disaran beralih kepada aplikasi alternatif










