KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 — Nilai pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam PT Eagle High Plantations merosot 87.9%, daripada AS$505.4 juta kepada AS$61.3 juta setakat Ogos tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyusutan itu membabitkan kehilangan nilai kira-kira RM2 bilion, ketika kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan besar bagi memulihkan kedudukan kewangan FELDA dan melindungi kepentingan peneroka.
Menurut beliau, perbelanjaan pemulihan FELDA berjumlah RM9.9 bilion, termasuk RM3.3 bilion bagi penyahsenaraian FGV Holdings serta RM5.7 bilion untuk penstrukturan semula pinjaman lain.
“Dalam urusan perniagaan ini ada untung rugi, jadi kita tidak mendakwa terhukum kerana kerugian. Kita mendakwa kerana ada salah guna urus, percaturan yang salah dan amalan menyakau,” kata Anwar dipetik dari teks verbatim Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai status siasatan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC).
Anwar berkata, siasatan berkaitan FELDA, FGV dan FIC masih berjalan, manakala beberapa kes telah dibawa ke mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa usaha memulihkan kedudukan FELDA dilaksanakan tanpa memindahkan beban masalah kewangan institusi itu kepada peneroka. Menurutnya, kerajaan turut menanggung bayaran RM990 juta setiap tahun.
Siasatan mengambil masa untuk dilengkapkan
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli mengenai tempoh tindakan penguatkuasaan, Anwar berkata, proses siasatan memerlukan penelitian dan penyediaan bukti yang mencukupi.
Menurut beliau, terdapat kertas siasatan kes FELDA yang dikemukakan kepada Peguam Negara sebanyak tiga hingga empat kali sebelum dikembalikan untuk melengkapkan kekurangan.
“Saya terimalah kalau kadang-kadang dikatakan kelewatan, tapi kelewatan itu lebih baik ada tindakan daripada tidak ada tindakan sama sekali,” katanya.
Anwar berkata, beliau boleh mengarahkan siasatan dijalankan, tetapi tidak boleh menentukan seseorang mesti dituduh tanpa proses siasatan yang mengaitkannya dengan kes berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada hasrat untuk menggunakan kuasa bagi menangguhkan atau menghalang siasatan.
Sebelum ini, isu FELDA telah dibangkitkan menerusi Kertas Putih 2019. Menurut Anwar, kerajaan kemudian menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi meneliti masalah berkenaan, dengan usaha itu bermula secara serius pada 2024.
Peraturan badan milik kerajaan diperketat
Dalam jawapan kepada soalan tambahan mengenai tatakelola pelaburan, Anwar berkata, kerajaan sedang menyediakan Rang Undang-Undang Badan Milik Kerajaan bagi memperkemas kawal selia agensi kerajaan.
Beliau berharap rang undang-undang itu dapat diluluskan tahun ini supaya agensi terbabit tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat.
Anwar turut membangkitkan urus niaga tanah FELDA seluas 24 ekar yang menurutnya mempunyai nilai penilaian sekitar RM500 juta pada 2014. Beliau berkata, usaha merungkai perjanjian berkaitan memerlukan masa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam penilaian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) di Indonesia yang dibangkitkan dalam soalan tambahan mengenai eFishery.
Menurut Anwar, penyertaan institusi pelaburan antarabangsa dalam sesuatu syarikat tidak semestinya boleh dijadikan jaminan bahawa keputusan pelaburan itu tepat.
Beliau berkata, peraturan akan diperketat supaya keputusan pelaburan wang rakyat tidak sekadar mengikuti kecenderungan pelabur antarabangsa.










