KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2026 — Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai jadual penugasan di luar waktu pejabat untuk menangani aduan gangguan bunyi pada waktu malam serta hujung minggu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pemantauan berdasarkan aduan awam turut disokong operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pegawai penguat kuasa kita di peringkat PBT ada jadual penugasan penguatkuasaan teratur,” kata Aiman Athirah dipetik dari Bernama.
Beliau menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat pada Isnin mengenai penguatkuasaan di luar waktu pejabat terhadap gangguan aktiviti hiburan.
Menurutnya, notis menghentikan kacau ganggu boleh dikeluarkan di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Kerjasama PDRM turut membolehkan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
PBT juga menetapkan had operasi hiburan berhampiran kawasan sensitif seperti hospital, sekolah, perumahan dan rumah ibadat, kebiasaannya sehingga 11 malam atau tengah malam.
Sebelum ini, zon penampan minimum antara 100 hingga 300 meter turut ditetapkan bagi mengawal penganjuran hiburan dekat kawasan sensitif, menurut penjelasannya.
Tindakan terhadap pelanggaran syarat permit atau acara tanpa kelulusan boleh merangkumi penyitaan peralatan audio dan kompaun. Premis inap desa yang melanggar syarat lesen atau kerap menerima aduan juga boleh berdepan pembatalan lesen atau pendakwaan.










