KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2026 — Kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan reaktor modular kecil (SMR), dengan keputusan hala tuju, teknologi dan pembangunan loji tenaga nuklear hanya akan dimuktamadkan selepas empat kajian utama disiapkan dalam tempoh 12 bulan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, kajian itu dilaksanakan di bawah program pembangunan teknologi tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik kendalian Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Bagi penilaian terhadap pemilihan teknologi, memang ada contoh SMR darat, SMR terapung dan lain-lain. Kita akan mengambil kira kesesuaian, keperluan serta keadaan negara,” kata Chang.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, Isnin.
Chang berkata, keputusan berkaitan teknologi, garis masa dan pembinaan loji hanya dibuat selepas kajian selesai.
Sebelum ini, kerjasama tenaga ASEAN turut merangkumi agenda nuklear, termasuk kajian pembiayaan serta pembangunan tenaga kerja loji. Perkara itu dilaporkan dalam perbincangan keselamatan tenaga serantau.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
ASEAN bincang keselamatan tenaga ketika perang Iran ganggu bekalan










