KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2026 — Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang disengajakan ke atas Gereja Ortodoks Yunani St. George di kampung Hamoud, wilayah Karak, Jordan.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Ahad menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan terhadap kesucian rumah ibadat dan tindakan ekstremisme yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat, menurut Bernama.
“Malaysia mengucapkan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Kerajaan Hashemite Jordan,” menurut kementerian dalam kenyataan itu.
Malaysia turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan solidariti bersama Jordan pada masa sukar ini.
Wisma Putra menegaskan komitmen Malaysia bersama Jordan untuk menolak ekstremisme dalam semua bentuk, tanpa mengira motif atau justifikasi.
Kementerian itu turut mengulangi komitmen mengukuhkan hubungan dua hala serta mempertahankan keharmonian agama dan kehidupan bersama secara aman.
Sebelum itu, serangan pada Jumaat menyasarkan orang ramai yang menghadiri upacara pengebumian di gereja berkenaan. Bernama melaporkan perkara itu dengan memetik laporan Anadolu yang bersumberkan agensi berita Jordan, Petra.
Susulan kejadian, Perdana Menteri Jordan, Jafar Hassan mengarahkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara bermula Jumaat, menurut laporan sama.










