KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 — Hampir RM11 bilion bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah disalurkan kepada penerima yang layak sehingga September tahun ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.6 bilion STR dibayar melalui tiga fasa sehingga bulan lepas, menurut laporan BERNAMA pada Isnin.
“Pada tahun ini, hampir sembilan juta rakyat layak menerima SARA secara bulanan,” kata MOF.
STR pula disalurkan setiap suku tahun kepada isi rumah dan warga emas yang layak.
Bagi SARA bulanan, kementerian melaporkan kadar penggunaan 99.7 peratus dengan nilai transaksi RM5.2 bilion sehingga September.
Lebih 20 juta rakyat turut membuat pembelian menggunakan SARA Untuk Semua, bersamaan 90 peratus daripada keseluruhan penerima. Nilai transaksi program itu di pasaran tempatan hampir RM1.9 bilion.
Perincian tersebut dikemukakan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keberkesanan bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah.
Bagi 2026, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk gabungan STR dan SARA bagi membantu golongan berpendapatan rendah serta kumpulan rentan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:










