KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2026 — Kerajaan disaran meneliti mekanisme bantuan awal atau dana pampasan bagi mangsa kemalangan akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, termasuk apabila pesalah tidak mampu membayar.
Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Berkanun Malaysia (CILTM), Prof Dr Muhammad Zaly Shah berkata, keputusan mahkamah yang memihak kepada mangsa tidak menjamin bayaran jika pesalah tiada pendapatan atau aset, menurut laporan The Star pada Jumaat.
“Mangsa yang layak boleh menerima bantuan untuk keperluan mendesak tanpa perlu menunggu pesalah membayar pampasan,” kata Muhammad Zaly.
Beliau mencadangkan sumber pembiayaan, kelayakan dan had bantuan diperincikan, sementara tanggungjawab membayar pampasan terus dipikul pesalah.
Menurut Muhammad Zaly, bayaran boleh diteliti melalui ansuran, potongan pendapatan atau penguatkuasaan terhadap aset, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan mahkamah.
Beliau menegaskan pampasan perlu melengkapi hukuman jenayah serta mengambil kira rawatan, pemulihan, kehilangan pendapatan dan keperluan tanggungan mangsa.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan pampasan mandatori ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.
Pada Khamis, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 disasarkan dibentangkan awal tahun depan. Penyitaan aset turut dikaji bagi memastikan pampasan sampai kepada keluarga mangsa.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kerajaan kaji sita aset pemandu nahas maut jika pampasan tidak dibayar
RUU pampasan mangsa pemandu mabuk disasar dibentang awal 2027
Pindaan dicadang wajibkan pemandu mabuk bayar pampasan kepada mangsa







