KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 — Kerajaan akan mendedahkan maklumat projek termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak mulai 2027 sebagai langkah meningkatkan ketelusan perolehan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu menyusuli pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun berkenaan, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
“Susulan Akta Perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa mulai 2027, kerajaan akan memantapkan ketelusan dengan menzahirkan maklumat projek termasuk kontraktor dan nilai kontrak,” kata Anwar dipetik dari Utusan Malaysia.
Dalam pembentangan yang sama, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi badan penguat kuasa.
Peruntukan itu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 memperincikan kewajipan serta kuasa Menteri Kewangan dalam urusan perolehan melalui undang-undang, menurut laporan Bernama pada 28 Ogos 2025.
Amir Hamzah ketika menggulung perbahasan bacaan kali kedua RUU itu di Dewan Rakyat berkata, keputusan perolehan boleh dicabar dan dikaji semula melalui Panel Kajian Semula serta Tribunal Rayuan Perolehan.
Beliau turut menjelaskan ketika itu bahawa kerangka undang-undang berkenaan disokong arahan dan pekeliling yang memperincikan dasar perolehan, menurut laporan tersebut.
Anwar turut memaklumkan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat bagi penyampaian perkhidmatan. Antaranya, penglibatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat telekomunikasi dalam bekalan elektrik desa serta ketersambungan Internet melalui penyatuan dana kerajaan dan tanggungjawab sosial korporat.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
SPRM siasat bayaran RM42 juta berkaitan projek solar UiTM Holdings







