KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva atas kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya, sambil menyatakan hasrat Malaysia memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara itu.
Anwar berkata, persaingan sengit tersebut memberikan Lula mandat baharu daripada rakyat Brazil untuk meneruskan kepimpinannya.
“Tahniah setulusnya kepada sahabat karib saya, Presiden Luiz Inácio Lula da Silva, atas kemenangan bersejarah beliau dalam pilihan raya Brazil,” kata Anwar dipetik dari kenyataannya di media sosial.
Menurut kenyataan itu, komitmen sepanjang hayat Lula terhadap keadilan sosial, pengurangan kemiskinan dan usaha memastikan suara negara membangun didengari telah mendapat penghormatan melangkaui sempadan Brazil.
Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap persahabatan mereka serta berkongsi pendirian Lula mengenai kepentingan memperkukuh suara negara Selatan Global.
“Saya sentiasa menghargai persahabatan kami dan berkongsi keyakinan beliau bahawa Selatan Global mesti mempunyai suara yang lebih kuat dalam membentuk aturan antarabangsa yang lebih adil,” kata Anwar dipetik dari kenyataan itu.
Anwar berkata, Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Brazil di bawah kepimpinan Lula yang diteruskan.
Beliau menyenaraikan pengukuhan perdagangan dan pelaburan, peningkatan kerjasama antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan Amerika Latin serta usaha memperkukuh pengisian perkongsian dua negara sebagai bidang yang boleh diterokai bersama.
“Banyak yang boleh kita lakukan bersama: memperkukuh perdagangan dan pelaburan, memajukan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Latin serta memberikan pengisian yang lebih bermakna kepada perkongsian antara kedua-dua negara kita,” kata Anwar.
Sebelum ini, Lula memenangi pilihan raya presiden pusingan kedua pada Ahad dengan menewaskan Senator Flávio Bolsonaro, sekali gus memperoleh penggal keempat.
Mahkamah Pilihan Raya Wilayah São Paulo turut mengesahkan kemenangan Lula, dengan Geraldo Alckmin dipilih semula sebagai naib presiden.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Lula menang penggal keempat, Flávio Bolsonaro enggan terima kekalahan










