KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2026 — Sebanyak 1,529 tandas awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah dinaik taraf menerusi peruntukan RM154 juta yang disalurkan bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementeriannya meneruskan usaha itu dengan peruntukan khas RM30 juta setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, berjumlah RM150 juta.
“Tandas awam sebenarnya ialah kad panggilan bagi barisan depan imej sesebuah negara,” kata Nga dipetik dari Bernama.
Beliau berucap pada Anugerah Tandas Terbaik Malaysia 2026 (TOTYA’26) di Kuala Lumpur pada Selasa malam.
Nga berkata, kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Kementerian Pendidikan turut menyaksikan 11,835 tandas sekolah dinaik taraf.
Sebelum ini, KPKT menyalurkan dana kepada PBT untuk penyelenggaraan, pembaikan dan peningkatan kemudahan tandas awam, sebagai sebahagian usaha menyediakan kemudahan yang bersih serta selesa.
TOTYA’26, yang memasuki edisi keempat, menerima 849 penyertaan berbanding 345 pada tahun pertama. Pertandingan itu merangkumi lapan kategori termasuk sekolah, rumah ibadat, hotel dan PBT.
Nga turut mengumumkan kategori tandas terbaik bagi institusi pengajian tinggi, universiti dan maktab akan diperkenalkan pada tahun hadapan.










