SHAH ALAM, 22 Oktober 2026 — Kegiatan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi ejen haram dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan imigresen menerusi platform TikTok, pada kadar bayaran antara RM700 hingga RM3,000, terbongkar selepas dia ditahan pada Isnin.
Wanita berusia 31 tahun itu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di sebuah premis kediaman di Seksyen U15, di sini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 10 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Penahanan suspek dilakukan hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan,” kata Zakaria dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pihak imigresen menyita dua naskhah pasport Indonesia, satu set kunci premis kediaman, dua telefon bimbit, buku catatan pelanggan serta wang tunai RM4,000 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.
Zakaria berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa pasukan operasi ke sebuah syarikat kurier di Puncak Alam, di sini, sebelum menyita satu bungkusan yang mengandungi pasport Indonesia milik pelanggan.
Suspek dipercayai mempromosikan perkhidmatan berkaitan imigresen menerusi TikTok dengan menyasarkan warga Indonesia yang berada di sekitar Lembah Klang.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk urusan Program Repatriasi Migran (PRM), Pas Khas serta membawa masuk dan keluar migran melalui laluan yang tidak diwartakan, menurut Zakaria.
Beliau berkata, suspek turut dipercayai menguruskan permohonan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada Kedutaan Indonesia.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Wanita itu kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.










