KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 — Seorang pengarah syarikat mendakwa menerima ugutan along yang menghantar gambar seolah-olah dirinya sudah meninggal dunia berserta notis pengebumian selepas dia didesak melunaskan hutang bapanya.
Lelaki berusia 31 tahun itu berkata, gangguan berkenaan bermula pada 29 September lalu apabila dia menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang memaklumkan bapanya, berusia 69 tahun, mempunyai hutang.
“Saya dan kakak sebelum ini pernah membantu menyelesaikan hutang bapa berjumlah RM35,000 pada November tahun lalu.
“Bapa sudah tidak lagi tinggal bersama kami sejak 2022. Bagaimanapun, sebelum kejadian itu, bapa didakwa kerap meminjam wang daripada kami berdua dengan jumlah keseluruhan melebihi RM600,000 sejak 2019,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA di sini pada Selasa.
Menurutnya, selepas kejadian itu, dia dan kakaknya mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan bapa mereka serta tidak lagi berhubung dengannya.
“Along terbabit mengugut untuk datang ke tempat kerja sekiranya tuntutan hutang berkenaan tidak diselesaikan. Along turut menghantar gambar seolah-olah saya telah mati dengan tulisan ‘funeral notice’,” katanya.
Susulan gangguan itu, lelaki berkenaan berkata, dia membuat tiga laporan polis di Balai Polis Desa Sri Hartamas dan Balai Polis Travers.
Sementara itu, seorang ahli perniagaan mendakwa menerima ugutan daripada along, termasuk ancaman rumahnya disimbah cat merah dan dibakar susulan hutang bekas teman wanitanya, warga Thailand.
Lelaki berusia 34 tahun itu mendakwa tidak mengetahui jumlah sebenar pinjaman dibuat bekas teman wanitanya yang baharu dikenali sejak Julai lalu di sebuah pusat hiburan.
“Wanita itu meninggalkan saya dan sehingga kini gagal dihubungi. Pada 14 Oktober lalu, saya menerima mesej WhatsApp daripada along yang mendakwa wanita berkenaan mempunyai hutang dengan mereka,” katanya.
Lelaki itu mendakwa sudah membayar RM800 kepada seorang along bagi menyelesaikan hutang.
“Bagaimanapun, dua lagi along masih mengganggu dan mengugut saya, termasuk mengancam untuk menyimbah cat merah serta membakar rumah.
Lelaki itu mendakwa seorang lagi along menuntut RM8,000 selepas dia membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh pada 14 Oktober lalu kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya.
Dalam perkembangan sama, peguam Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Persatuan Cina Malaysia (MCA), Marcus Chong Chao Shern berkata, kerajaan perlu menggubal satu akta bagi mengatasi ancaman oleh along terhadap ahli keluarga, waris dan kenalan peminjam.
“Sindiket along kerap menjadikan orang terdekat dengan peminjam sebagai sasaran ancaman selepas peminjam gagal melangsaikan hutang atau menghilangkan diri.
“Berdasarkan aduan kes yang diterima, ahli keluarga serta kenalan peminjam sering menjadi ancaman keganasan seperti menerima ugutan, kediaman dan kenderaan dibaling cat merah selain kes ah long membakar rumah dengan cara membaling molotov cocktail,“ katanya.
Beliau berkata, perkara ini tidak akan berkesudahan sekiranya tiada tindakan serius atau ketegasan daripada pihak berkuasa.
“Selain tindakan menggubal atau mewujudkan akta lebih serius, orang ramai juga perlu ada kesedaran berkaitan pinjaman wang daripada along,“ ujarnya.










