LEBIH 100 operasi risikan Amerika Syarikat (AS) terjejas, manakala 10 aset perisikan negara itu terbunuh akibat kegiatan pengintipan Aldrich Hazen Ames yang membocorkan maklumat sulit kepada Kesatuan Soviet dan kemudian Rusia ketika masih berkhidmat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Kes ini terbongkar apabila Ames ditahan pada 1994.
Ames, yang berusia 52 tahun ketika itu, ditahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Arlington, Virginia, pada 21 Februari 1994 atas tuduhan mengintip untuk Rusia.
“Selepas Kesatuan Soviet runtuh pada 1991 dan Perang Dingin berakhir, era perisik tradisional masih belum berakhir,” menurut catatan sejarah kes oleh FBI.
Ketika ditahan, beliau sudah berkhidmat selama 31 tahun dengan CIA dan dipercayai menyalurkan maklumat sulit kepada Kesatuan Soviet sejak 1985. Isterinya, Rosario Ames, turut ditahan kerana membantu kegiatan pengintipan berkenaan.
Ames merupakan pegawai operasi CIA yang fasih berbahasa Rusia serta mempunyai kepakaran dalam bidang perkhidmatan perisikan Rusia, termasuk Jawatankuasa Keselamatan Negara (KGB), agensi perisikan luar Kesatuan Soviet ketika itu.
Penugasan luar negara pertamanya ialah di Ankara, Turkiye, dengan tanggungjawab mengenal pasti pegawai perisikan Rusia untuk direkrut sebagai sumber maklumat. Beliau kemudian bertugas di New York, AS dan Mexico City, Mexico.
Pada 16 April 1985, ketika bertugas di Bahagian Soviet dan Eropah Timur di ibu pejabat CIA di Langley, Virginia, Ames secara rahsia menawarkan khidmat kepada pegawai KGB di Kedutaan Kesatuan Soviet di Washington DC.
Tidak lama selepas itu, beliau menerima bayaran AS$50,000.
Pada musim panas tahun sama, Ames beberapa kali bertemu seorang diplomat Rusia bagi menyerahkan maklumat sulit mengenai sumber manusia CIA dan FBI, selain operasi teknikal yang menyasarkan Kesatuan Soviet.
Pada Disember 1985, beliau bertemu seorang pegawai KGB yang berpangkalan di Moscow di Bogota, Colombia. Pada Julai 1986, Ames dipindahkan ke Rome, Itali.
Sepanjang bertugas di Rome, Ames meneruskan pertemuan dengan pihak KGB, termasuk seorang diplomat Rusia yang ditempatkan di bandar itu dan seorang pegawai KGB dari Moscow.
Sebelum menamatkan penugasannya di Rome, Ames menerima arahan daripada KGB mengenai kaedah mengadakan pertemuan sulit di kawasan Washington DC, lokasi penempatan tugasnya yang seterusnya.
KGB turut memaklumkan bahawa Ames sudah menerima bayaran berjumlah AS$1.88 juta sepanjang empat tahun sejak menawarkan khidmat kepada agensi berkenaan.
Selepas kembali ke Washington DC pada 1989, Ames terus membocorkan dokumen sulit kepada KGB dengan menggunakan kaedah dead drop, iaitu lokasi persembunyian yang dipersetujui lebih awal untuk meletakkan dokumen bagi diambil pihak lain tanpa pertemuan secara langsung.
Dokumen berkenaan ditinggalkan di tempat tertentu untuk diambil pegawai KGB dari Kedutaan Kesatuan Soviet di Washington. Sebagai balasan, wang dan arahan baharu untuk Ames turut ditinggalkan di lokasi persembunyian lain.
Dalam tempoh itu, CIA dan FBI mula menyedari pegawai Rusia yang direkrut sebagai sumber maklumat mereka ditahan dan dihukum mati.
Sumber manusia berkenaan sebelum ini membekalkan maklumat risikan penting mengenai Kesatuan Soviet yang digunakan pembuat dasar AS untuk menentukan hala tuju dasar luar negara.
Susulan analisis dalaman dan penemuan mengenai kekayaan Ames yang tidak dapat dijelaskan, FBI membuka siasatan terhadapnya pada Mei 1993.
Ejen khas FBI bersama pakar penyiasatan kemudian menjalankan pengawasan fizikal dan elektronik secara intensif terhadap Ames selama 10 bulan.
Pemeriksaan di kediamannya menemukan dokumen serta maklumat lain yang mengaitkannya dengan perkhidmatan perisikan luar Rusia.
Pada 13 Oktober 1993, pakar penyiasatan melihat Ames membuat tanda kapur pada sebuah peti surat sebagai isyarat kepada pihak Rusia bahawa beliau bersedia bertemu mereka di Bogota, Colombia.
Pada 1 November tahun sama, ejen FBI mengesan pergerakan Ames dan secara berasingan turut mengawasi pegawai Rusia yang mengendalikannya di Bogota.
Apabila Ames merancang perjalanan ke luar negara, termasuk lawatan ke Moscow atas urusan rasmi, pihak berkuasa meluluskan rancangan untuk menahannya.
Ames dan isterinya mengaku bersalah pada 28 April 1994.
Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol, manakala Rosario dijatuhi hukuman penjara selama 63 bulan pada 20 Oktober 1994.
Dalam sesi soal siasat selepas penahanannya, Ames memperincikan bagaimana beliau mendedahkan identiti sumber manusia CIA dan FBI, termasuk beberapa individu yang dihukum mati oleh pihak berkuasa Soviet.
Mengikut perjanjian pengakuan bersalah, Ames turut menyerahkan asetnya kepada kerajaan AS. Sejumlah AS$547,000 disalurkan kepada Dana Bantuan Mangsa Jabatan Kehakiman AS.
Ames meninggal dunia pada 5 Januari 2026, pada usia 84 tahun, ketika menjalani hukuman di penjara persekutuan di Cumberland, Maryland, menurut laporan kematian yang turut disiarkan Pusat Penyelarasan dan Analisis Maryland. Isterinya sudah selesai menjalani hukuman dan dibebaskan.
Selain Ames, tiga lagi individu yang dikenal pasti sebagai tali barut Rusia ialah Harold James Nicholson, Earl Edwin Pitts dan Robert Philip Hanssen. Mereka turut ditahan dan dipenjarakan selepas kegiatan pengintipan masing-masing terbongkar.










