KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 — Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah sepanjang tempoh Januari hingga 15 Oktober, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 48 kes direkodkan, melibatkan 57 lelaki dan 15 wanita. Rampasan keseluruhan berjumlah kira-kira 1,704 kilogram pelbagai dadah bernilai RM81.76 juta.
Thailand mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 19 orang, diikuti Indonesia seramai 16 orang. Taiwan dan Singapura masing-masing merekodkan lapan tangkapan, manakala lima lagi di Jepun.
Filipina merekodkan empat tangkapan; India dan Hong Kong masing-masing tiga; Macau dua; serta Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka masing-masing seorang, menurut kenyataan Hussein pada Rabu.
“Tiada kompromi terhadap kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah,” kata Hussein dipetik dari Bernama.
Hussein berkata, sindiket berpotensi mempergunakan rakyat Malaysia melalui tawaran pekerjaan, imbuhan lumayan, pembiayaan perjalanan dan penghantaran barangan bagi pihak ketiga.
Beliau mengingatkan golongan belia, pelajar serta individu yang bakal ke luar negara supaya menolak tawaran mencurigakan. Orang ramai turut diingatkan tidak membawa atau menyerahkan barangan orang lain tanpa mengetahui kandungan dan tujuan sebenar.
Antara kes yang disebutnya ialah penahanan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, kerana disyaki menyeludup kira-kira lima kilogram kokain.
Sebelum ini, Nusa Times pada 13 Oktober melaporkan penahanan lima rakyat Malaysia di Jepun selepas dadah ditemukan dalam kasut mereka. Laporan itu memetik penyiar Jepun mengenai siasatan kemungkinan penglibatan sindiket antarabangsa.
Dalam kes berkenaan, empat individu dilaporkan mengaku terhadap dakwaan yang dikemukakan penyiasat, sementara seorang lagi menafikannya. Polis Jepun menyiasat rangkaian yang disyaki memberikan arahan membawa dadah ke negara itu.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun, disyaki seludup lima kilogram kokain










