Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Aphrodax (1)Advertisement

Tanpa mereka, mungkin saya tidak akan berada di sini - Ella

Ella meraikan 50 individu yang mewarnai empat dekad perjalanan seninya selepas menerima Anugerah Sri Wirama pada AIM25.

October 16, 2026 • 9:41 PM 4 min read • 5 views
Tanpa mereka, mungkin saya tidak akan berada di sini - Ella

Ella bersama trofi Anugerah Sri Wirama. Foto: Bahan publisiti.

PERJALANAN seorang anak seni merangkumi pelbagai fasa, perubahan dan pencapaian yang membentuk kerjayanya. Namun, di sebalik kejayaan yang diraih, ada insan-insan yang turut memainkan peranan penting melalui kerjasama, sokongan dan sumbangan mereka.

Hakikat itu turut diakui Ratu Rock Negara, Nor Zila Aminuddin atau Ella, yang menganggap sumbangan insan-insan di sebalik perjalanan seninya sebagai sesuatu yang tidak ternilai sepanjang 40 tahun bergelar anak seni.

Justeru, selepas menjadi penerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) pada 26 September lalu, penyanyi berusia 60 tahun itu memilih untuk berkongsi penghargaan tersebut dengan mereka yang turut mewarnai perjalanan seninya.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Menerusi majlis makan malam khas Penghargaan Sri Wirama Ella yang berlangsung di The Saujana Hotel Kuala Lumpur pada Rabu, seramai 50 individu daripada pelbagai bidang diraikan atas sumbangan mereka sepanjang empat dekad perjalanan seni penyanyi itu.

Ella bersama tetamu dan penerima penghargaan pada majlis Penghargaan Sri Wirama Ella.
Ella bersama tetamu dan penerima penghargaan pada majlis Penghargaan Sri Wirama Ella. Foto: Bahan publisiti.

Bagi Ella, malam tersebut bukan sekadar pertemuan semula, sebaliknya peluang untuk menyampaikan penghargaan yang mungkin tidak selalu terungkap ketika kesibukan masing-masing.

"Kejayaan seorang penggiat seni bukanlah hasil usaha diri sendiri semata-mata. Di sebalik setiap lagu, persembahan dan perjalanan kerjaya, ada ramai insan yang bekerja keras, memberikan sokongan dan memainkan peranan penting, walaupun nama mereka tidak selalu disebut.

“Tanpa mereka, mungkin saya tidak akan berada di sini. Perjalanan, detik dan segala kenangan bersama mereka akan sentiasa tersimpan di hati. Malam ini adalah untuk mereka dan untuk kita semua,” kata Ella pada majlis berkenaan.

Majlis itu cukup bermakna apabila penyanyi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu dapat bertemu semula dengan rakan-rakan lama yang pernah berkongsi perjalanan seni dengannya.

Namun, usaha mengumpulkan mereka selepas bertahun-tahun membawa cabaran tersendiri, terutama apabila ada yang sudah berada di luar negara atau sukar dihubungi dalam tempoh singkat.

Walaupun tidak semua dapat berkumpul, penyanyi asal Klang, Selangor ini tetap menganggap setiap insan yang pernah bersamanya mempunyai tempat tersendiri dalam perjalanan tersebut.

“Saya memang rasa sangat terharu. Momen-momen ini sesuatu yang tidak boleh dibeli. Jasa dan karya mereka akan sentiasa berada di hati saya, dan kita tahu siapa mereka serta apa yang telah mereka sumbangkan,” katanya.

Antara penerima penghargaan pada majlis itu ialah Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir, Datuk Habsah Hassan, Datuk Wah Idris, Datuk Amy Search, Saari Amri dan ramai lagi.

Ella menyampaikan penghargaan kepada seorang penerima pada majlis berkenaan.
Ella menyampaikan penghargaan kepada seorang penerima pada majlis berkenaan. Foto: Bahan publisiti.

Menurut Ella, penghargaan itu juga merupakan jawapan kepada pertanyaan yang diterimanya selepas pengumuman Anugerah Sri Wirama di AIM25 sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas menerima pengiktirafan berkenaan, dia belum mempunyai jawapan khusus. Namun majlis tersebut akhirnya menjadi cara untuk berkongsi kegembiraan itu dengan insan yang turut menjadi sebahagian daripada pencapaiannya.

Baginya, empat dekad dalam industri muzik tidak mungkin dilalui secara bersendirian. Setiap individu mempunyai perjalanan dan impian masing-masing, namun pertemuan serta kerjasama antara mereka telah membentuk pengalaman yang dikongsi bersama.

Penghargaan pada majlis itu merangkumi pemuzik, komposer, penulis lirik, penerbit muzik, pengamal media, penggiat kreatif, pasukan pengurusan, keluarga dan komuniti peminat.

Ella bersama seorang penerima penghargaan yang diraikan pada majlis tersebut.
Ella bersama seorang penerima penghargaan yang diraikan pada majlis tersebut. Foto: Bahan publisiti.

Ella berharap inisiatif tersebut dapat menjadi inspirasi kepada penggiat seni lain untuk turut menghargai insan yang pernah memainkan peranan dalam kerjaya masing-masing.

Jelasnya, kejayaan seseorang artis bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya turut terbina melalui sumbangan ramai pihak.

Pernah mahu berhenti menyanyi

Di sebalik perjalanan panjang itu juga, Ella mengimbas detik sukar yang pernah menggoyahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya.

Antara pengalaman paling memberi kesan ialah pemergian bapanya pada tahun 1990-an, seorang insan yang banyak memberikan sokongan kepadanya.

"Pernah satu ketika bapa meninggal dunia, saya rasa macam tak nak lagi teruskan menyanyi," imbasnya.

Pengalaman itu menjadi sebahagian daripada cabaran yang dilaluinya sepanjang perjalanan seni, meskipun begitu dia terus melangkah sehingga ke hari ini.

Ditanya mengenai harapan peminat yang menantikan gelaran ‘Datuk’ dikurniakan kepadanya selepas empat dekad mewarnai industri muzik tanah air, seperti yang diterima beberapa artis seangkatannya, Ella memilih untuk tidak mengulas lanjut.

"Saya tiada komen fasal itu, tapi saya gembira untuk rakan artis yang sudah pun menerima gelaran tersebut.

"Saya sebenarnya tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan. Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Pada saya, rezeki sebagai manusia, tidak pernah salah alamat. Kalau itu rezeki kita, ia tetap akan sampai kepada kita. Kita doakan yang terbaik,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Passionate about independent digital journalism and tech trends.