GAZA, 24 September 2026 — Sebuah hantaran yang mengenang Suhaib Khalifah Abu Labad sebagai anggota Briged Al-Qassam menimbulkan persoalan tentang penglibatan kanak-kanak dalam konflik bersenjata. Hantaran saluran Aqmar Taufan yang dikongsi kepada Nusa Times menamakannya sebagai anggota Batalion Al-Zaytoun, Briged Gaza.
Rekod Gaza International Group (GIG) menyenaraikan nama penuhnya sebagai Suhaib Khalifah Harb Abu Labad, berusia 16 tahun. Menurut rekod itu, beliau terbunuh dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza pada 21 Ogos 2025, bersama beberapa orang lain.
Hantaran Aqmar Taufan menyifatkan Suhaib sebagai pejuang Al-Qassam, bagaimanapun, maklumat yang Nusa Times terima belum cukup untuk memastikan bila beliau menyertai kumpulan itu, tugas yang dilakukannya atau sama ada beliau terlibat dalam pertempuran ketika terbunuh.
Ada dakwaan yang berkata beliau mula menyertai Al-Qassam selepas seluruh ahli keluarganya terbunuh ketika konflik yang bermula pada Oktober 2023.
Usianya yang masih muda menjadi persoalan apabila Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menjelaskan bahawa kanak-kanak yang terjejas oleh konflik bersenjata berhak mendapat perlindungan khas.
Menurut ICRC, protokol pilihan kepada Konvensyen Hak Kanak-Kanak menetapkan bahawa kumpulan bersenjata tidak sepatutnya merekrut atau menggunakan individu bawah 18 tahun dalam sebarang konflik bersenjata.







