WAINWRIGHT, 18 Oktober 2026 — Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan maut dan puluhan lagi cedera dalam letupan serta kebakaran di pangkalan tentera Wainwright, Alberta, Kanada, pada Sabtu, menurut Global News yang memetik beberapa sumber tentera.
Angkatan Tentera Kanada mengesahkan insiden itu menyebabkan kematian dan kecederaan, tetapi belum mengumumkan jumlah rasmi sementara proses mengenal pasti mangsa serta memaklumkan waris diteruskan.
Menurut kenyataan rasmi itu, kebakaran bermula di kawasan latihan Pangkalan Angkatan Tentera Kanada Wainwright sekitar 4 petang waktu tempatan, bersamaan 6 pagi Ahad waktu Malaysia, sebelum merebak dengan pantas melepasi sempadan kawasan latihan.
Sumber Angkatan Tentera Kanada memberitahu Global News, latihan menggunakan peluru hidup terkena saluran atau telaga gas di dalam pangkalan, mencetuskan letupan dan kebakaran.
Punca kejadian masih disiasat. Reuters melaporkan Polis Diraja Kanada turut terlibat dalam siasatan bersama pihak tentera.
“Ingatan saya bersama keluarga dan semua yang terkesan oleh peristiwa tragis ini,” kata Menteri Pertahanan Kanada, David J. McGuinty dipetik dari kenyataan Jabatan Pertahanan Negara Kanada.
Jumlah mangsa yang memerlukan rawatan memberi tekanan besar kepada kemudahan kesihatan berhampiran pangkalan. Menurut Associated Press, pesakit turut dihantar ke hospital di Edmonton selepas kemudahan sekitar Wainwright tidak mampu menampung jumlah mereka.
Pakar perubatan kecemasan Hospital Royal Alexandra, Dr. Warren Thirsk memberitahu penyiar Kanada, keadaan itu merupakan bencana yang jarang berlaku dan memerlukan tindak balas besar daripada perkhidmatan kecemasan.
Angin kencang turut menyukarkan operasi pemadaman apabila api merebak keluar dari perimeter pangkalan ke kawasan luar bandar sekitarnya. Tiupan angin di sebahagian Alberta dilaporkan mencecah 100 kilometer sejam.
Menjelang 11 malam Sabtu waktu tempatan, pihak perbandaran Wainwright memaklumkan penyebaran api berjaya dibendung serta harta benda dan infrastruktur penting dilindungi. Tiada arahan pemindahan penduduk dikeluarkan ketika itu.
Pihak tentera menyatakan keutamaan segera mereka ialah membantu mangsa serta keluarga, selain menyokong operasi kecemasan bersama pihak berkuasa tempatan.
Sebelum kejadian, pangkalan Wainwright digunakan sebagai antara pusat latihan tentera utama Kanada bagi menyediakan anggota dan unit menghadapi operasi tempur. Menurut Associated Press, pangkalan itu menempatkan pusat latihan yang menjalankan latihan medan tempur realistik serta latihan ketenteraan.







