MILAN, 18 Oktober 2026 — Demonstrasi menentang peperangan dan kenaikan kos sara hidup bertukar ganas di pusat Milan pada Sabtu apabila kumpulan bertopeng bertempur dengan polis, menjarah kedai serta membakar harta benda.
Menurut Associated Press, perarakan yang bermula secara aman kemudian diselubungi keganasan apabila sebahagian peserta melontar batu, bongkah turapan dan objek lain ke arah polis rusuhan.
Penghadang daripada meja kafe turut dibakar, manakala sebuah kenderaan Carabinieri mengalami kerosakan teruk. Polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan terbabit.
Kekecohan tertumpu di Piazza del Duomo dan kawasan Galleria Vittorio Emanuele II, sebelum turut menjejaskan San Babila serta beberapa jalan di pusat bandar.
Agensi berita Itali, Agenzia Nazionale Stampa Associata (ANSA) melaporkan sekitar 50 orang ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis selepas kejadian tersebut. Hampir separuh daripada mereka merupakan individu bawah umur.
Penyiar awam Itali, Rai melaporkan sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan dan sekitar 20 peserta cedera berdasarkan maklumat awal.
Menurut Rai yang memetik polis, kumpulan belia yang bergerak sendiri dari kawasan pinggir bandar mendominasi kekecohan ketika demonstrasi utama dianjurkan gerakan Italia in piazza.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam tindakan ganas berkenaan.
“Berdemonstrasi ialah hak. Membakar bandar-bandar kita bukan hak,” kata Meloni dipetik dari Rai.
Datuk bandar Milan, Giuseppe Sala pula menyatakan sebab bantahan boleh difahami, tetapi keganasan terhadap pasukan keselamatan serta kerosakan serius terhadap bandar tidak boleh dibenarkan.
Menurut Reuters, kedai di kawasan terjejas menurunkan pengatup, manakala pelancong meninggalkan pusat bandar ketika polis cuba mengosongkan kawasan daripada kumpulan bertopeng. Stesen metro Duomo turut ditutup semasa pertempuran berlangsung.
Sebelum ini, peserta berhimpun membantah kenaikan kos sara hidup. Kejadian di Milan berlaku pada hari sama demonstrasi besar di Perancis turut dicemari pertempuran antara sebahagian peserta dengan polis.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Butik Rolex dan Louis Vuitton dijarah ketika demonstrasi di Perancis
Dewan bandar raya Marseille diceroboh ketika demonstrasi bertukar ganas
Sekolah, balai polis jadi sasaran perusuh di Perancis
266,000 turun ke jalanan di Perancis, demonstrasi terus memuncak
Pelajar sekolah merusuh di Perancis, kira-kira 400 institusi pendidikan ditutup







