TIRANA, 19 Oktober 2026 — Keadaan universiti yang daif, yuran pengajian tinggi dan kelemahan sistem pendidikan mencetuskan bantahan mahasiswa di Albania, dengan demonstrasi di ibu negara itu berlarutan sehingga hari keenam pada Ahad.
Ribuan peserta turun ke jalan menuntut keadaan pengajian lebih baik, selain mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Edi Rama, ketika sebahagian demonstrasi bertukar menjadi pertempuran dengan polis, menurut laporan AFP yang disiarkan Al Jazeera.
Menurut laporan Reuters, gerakan diterajui mahasiswa itu turut didorong kemarahan terhadap mutu pendidikan yang rendah, kekurangan peluang pekerjaan dan dakwaan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
Bantahan yang melanda pusat Tirana sejak minggu lalu juga merebak ke bandar lain, sementara Rama terus menolak tuntutan supaya beliau berundur.
Penyertaan mahasiswa dan pelajar sekolah menengah sejak 13 Oktober memperbesar gerakan antikerajaan yang sudah berlangsung beberapa bulan sebelum ini, menurut laporan Associated Press (AP).
Dalam pertempuran pada Sabtu, sebahagian penunjuk perasaan membaling batu, bom petrol dan bunga api ke arah polis berhampiran pejabat perdana menteri. Polis bertindak menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan belantan ketika pertempuran merebak di pusat bandar, menurut AP.
Menurut polis yang dipetik AP, sebanyak 167 orang ditahan dan 132 anggotanya cedera sepanjang kekacauan itu setakat laporan Sabtu. Tujuh anggota polis turut digantung tugas sementara siasatan dijalankan terhadap dakwaan mereka melampaui bidang tugas.
Rama mempertahankan pendiriannya untuk kekal menerajui kerajaan dan menyatakan tanggungjawabnya adalah memastikan keselamatan rakyat serta meneruskan pentadbiran negara.
“Tanggungjawab saya jelas pada waktu yang sukar ini: melindungi rakyat kita, menjamin keadilan dan membawa Albania ke hadapan,” kata Rama dipetik dari AP.
Pada Ahad, beliau mengundang mahasiswa untuk berdialog, sambil mendakwa pergolakan itu boleh menjejaskan usaha Albania menyertai Kesatuan Eropah, menurut Reuters.
Sebelum ini, gerakan dikenali sebagai Flamingo mengadakan demonstrasi bagi membantah projek pelancongan mewah di pesisir selatan Albania yang dikaitkan dengan firma pelaburan diasaskan Jared Kushner, menantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menurut AP.
Penyertaan mahasiswa kemudian membawa isu pendidikan ke dalam gelombang bantahan tersebut, bersama tuntutan supaya kerajaan menangani masalah pekerjaan dan dakwaan rasuah, menurut Reuters.







