SEOUL, 8 Oktober 2026 — Korea Selatan mengumumkan akan memanggil pulang dutanya dari Ukraine susulan pertikaian mengenai pendedahan pemindahan dua tawanan perang Korea Utara ke negara itu.
Kementerian Luar Korea Selatan dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan keputusan berkenaan, sambil menyatakan harapan supaya isu antara kedua-dua negara dapat diselesaikan menerusi rundingan berterusan dengan Kyiv, menurut laporan Reuters.
Menurut Associated Press (AP) pula, kementerian itu tidak menyatakan bila duta berkenaan akan dibawa pulang.
Pertikaian tercetus selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendedahkan pemindahan dua tawanan itu ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 September.
Seoul mendakwa pemindahan pada pertengahan September itu tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan. Namun, Kyiv menafikan pernah bersetuju dengan perjanjian sedemikian.
Sebelum ini, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pada 2 Oktober memberi amaran bahawa Seoul akan mengambil langkah tambahan sekiranya Ukraine terus enggan mengakui perjanjian berkenaan dan memohon maaf secara terbuka.
“Sekiranya keengganan untuk mengakui hakikat dan membuat permohonan maaf secara terbuka ini berterusan, kami akan mengambil tindakan susulan,” kata Lee dipetik dari Reuters, merujuk hantaran beliau di X.
AP sebelum ini melaporkan tuntutan permohonan maaf Seoul pada 28 September. Pihak Korea Selatan menyatakan kerahsiaan bertujuan melindungi keselamatan tawanan serta keluarga mereka di Korea Utara.
Kedua-dua tawanan ditangkap pada awal 2025 ketika menyertai pasukan Korea Utara yang menyokong Rusia. Mereka menyatakan hasrat menetap di Korea Selatan kerana bimbang menghadapi penganiayaan jika dihantar pulang.







