ISTANBUL, 15 Oktober 2026 — Sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia selepas hujan lebat mencetuskan banjir di Istanbul, Türkiye, sehingga menenggelamkan jalan, menghanyutkan kenderaan dan memerangkap penduduk di rumah serta tempat kerja.
Hujan yang bertambah kuat pada malam Rabu menyebabkan rumah, premis perniagaan dan laluan bawah tanah dinaiki air, sementara pasukan penyelamat meneruskan operasi sepanjang malam hingga Khamis, menurut Associated Press.
Seorang remaja berusia 14 tahun meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika memijak lopak air di sebuah taman di daerah Fatih. Pihak berkuasa membuka siasatan berhubung kejadian itu.
Seorang lagi mangsa berusia 34 tahun meninggal dunia di hospital selepas tergelincir ketika melintasi jalan yang dinaiki air di Ayazağa, daerah Sarıyer, lalu terhantuk kepala pada tepi jalan, menurut Hürriyet Daily News.
Di Ayazağa, pasukan penyelamat menggunakan lori dan bas mini untuk memindahkan kira-kira 200 pekerja syif malam yang terperangkap di premis sepanjang Jalan Kemerburgaz.
Arus banjir turut menghanyutkan kereta yang diparkir dan memerangkap sebuah bas perbandaran, manakala penduduk menggunakan tali bagi membantu mereka yang terkandas menuju tempat selamat, menurut laporan sama.
Gabenor Istanbul, Davut Gül menggesa penduduk mengehadkan pergerakan dan mengelakkan kawasan berisiko sepanjang hujan berterusan.
“Jangan keluar kecuali jika perlu, elakkan menggunakan kenderaan persendirian,” kata Gül dipetik dari Anadolu.
Beliau turut menasihatkan penghuni kediaman bawah tanah berpindah sementara ke tingkat lebih tinggi serta menjauhi alur sungai dan laluan bawah tanah yang dinaiki air.
Menurut Pusat Penyelarasan Bencana Perbandaran Metropolitan Istanbul, Beykoz merekodkan hujan bersamaan 255.8 milimeter, diikuti Eyüpsultan dengan 195.9 milimeter dan Sarıyer, 195.6 milimeter.
Sebelum ini, hujan bermula pada pagi Rabu sebelum bertambah kuat pada sebelah petang dan malam. Di Küçükçekmece, tingkat bawah bangunan kediaman dimasuki air ketika aliran Sungai Ayamama meningkat, manakala beberapa rumah di Esenler dan Arnavutköy turut dilanda banjir, menurut TRT Haber.
Susulan keadaan tersebut, pihak berkuasa menggantung pembelajaran bersemuka di institusi pendidikan awam dan swasta pada Khamis. Motosikal serta kenderaan dua roda seumpamanya juga dilarang berada di jalan raya mulai jam 9 malam Rabu sehingga arahan lanjut, menurut Anadolu.







