MIAMI, 30 September 2026 — Sudah lebih dua tahun berlalu sejak seorang wanita hilang secara misteri di Madrid, Sepanyol, namun sehingga kini jasadnya masih belum ditemukan.
Bagi membantu merungkai misteri itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menawarkan ganjaran sehingga AS$25,000 (RM102,030) kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada penemuan jasad Ana Maria Henao Knezevich.
Ana, seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang berasal dari Colombia, kali terakhir diketahui berhubung dengan rakannya pada 2 Februari 2024 ketika menetap di Madrid. Kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa dua hari kemudian. Hebahan FBI turut menyenaraikan garis masa rakaman CCTV dan komunikasi terakhir Ana.
Siasatan pihak berkuasa mendapati kehilangan wanita itu berlaku ketika dia dan suaminya, David Knezevich, sedang melalui proses perceraian termasuk rundingan mengenai pembahagian aset hasil perniagaan bersama mereka.
Pihak penyiasat percaya David, yang turut mempunyai kewarganegaraan Serbia, berkemungkinan mengikuti Ana ke Sepanyol sebelum memasuki bangunan kediamannya dan membunuh wanita berkenaan.
Selepas kejadian, dia dipercayai meninggalkan Sepanyol dan kembali ke Serbia. David kemudiannya ditahan selepas kembali ke AS dan didakwa berkaitan kematian Ana. Bagaimanapun, dia meninggal dunia akibat bunuh diri sebelum kes berkenaan dibicarakan di mahkamah.
Kematian David itu bagaimanapun tidak menamatkan siasatan kerana jasad Ana masih belum ditemukan.
Penganalisis penyiasatan FBI, Kelly, menegaskan siasatan masih diteruskan walaupun perbicaraan terhadap David tidak berlaku.
Seorang lagi ejen khas, Emma, yang turut menyiasat kehilangan itu berkata, pencarian hanya akan berakhir selepas jasad Ana ditemukan dan dibawa pulang kepada keluarganya.
Ana dan David, kedua-duanya warga AS yang memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi dan pernah menetap di Florida, telah berpisah ketika wanita itu menghilangkan diri.
Ana sebelum itu berpindah ke Sepanyol dengan harapan dapat memulakan kehidupan baharu.
Menurut abangnya, Felipe Henao, Ana juga bercadang menggunakan fasa baharu hidupnya untuk membantu wanita yang pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Felipe berkata Ana mahu membantu orang lain, terutama wanita yang pernah melalui keadaan sukar. Dalam temu bual dengan CBS Miami pada April 2026, Felipe berkata, dalam terjemahan: “Keadaan ini sangat sukar bagi kami, terutama ibu saya.”
Pasukan penyiasat percaya Ana mahu mendapatkan bahagian aset yang dianggap sebagai haknya dalam proses perceraian tersebut.
Dia turut memainkan peranan dalam perniagaan hartanah dan teknologi maklumat yang dijalankan bersama David, selain menyumbang masa dan tenaga terhadap perkembangan perniagaan berkenaan.
Perjalanan merentasi beberapa negara
Siasatan mendapati David dipercayai bergerak dari Florida ke Serbia sebelum memandu ke Sepanyol. Dia juga didakwa mencuri nombor pendaftaran kenderaan sebelum memasangnya pada kereta sewa bagi mengaburi jejak pergerakannya.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Ana memasuki bangunan kediamannya di Madrid pada petang 2 Februari 2024. Dia kali terakhir dilihat ketika menyertai persidangan video pada kira-kira jam 7 malam hari sama.
Kira-kira jam 9.27 malam, seorang lelaki yang dipercayai David dirakam memasuki bangunan tersebut.
Lelaki itu memakai topi keledar motosikal serta vest pemantul cahaya sehingga kelihatan seperti penghantar makanan.
Dia kemudian dipercayai menyembur cat pada satu-satunya kamera keselamatan di lobi bangunan sebelum keluar sambil menarik sebuah beg beroda. Pihak berkuasa Sepanyol percaya beg berkenaan mungkin mengandungi jasad Ana.
Selepas itu, Ana tidak pernah dilihat lagi dan bukti yang diperoleh setakat ini menunjukkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.
Mesej terakhir Ana kepada rakan-rakannya dihantar kira-kira jam 10.01 malam pada 2 Februari.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, David dipercayai meminta bantuan seorang kenalan untuk menterjemahkan mesej ke bahasa dan dialek Sepanyol yang digunakan di wilayah asal Ana di Colombia.
Dia dikatakan memberitahu kenalan itu bahawa mesej berkenaan diperlukan untuk skrip filem yang sedang dihasilkannya.
David kemudian menggunakan telefon Ana untuk menghantar mesej tersebut kepada rakan-rakannya. Namun, rakan-rakan Ana menyedari sesuatu yang ganjil kerana gaya bahasa mesej itu tidak menyerupai cara Ana berkomunikasi.
Menurut Kelly, terjemahan oleh kenalan dari Colombia menggunakan Google Translate menghasilkan susunan bahasa janggal yang disedari rakan-rakan Ana.
Selepas kes berkenaan mendapat liputan media, kenalan tersebut tampil menghubungi pihak berkuasa.
FBI masuk campur
Kes kehilangan Ana kemudian menarik perhatian pasukan khas jenayah kekerasan rentas negara FBI Miami yang kerap menyiasat kes melibatkan warga AS yang menjadi mangsa jenayah di luar negara.
Pasukan FBI Miami membuka siasatan selepas kehilangan Ana dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Kira-kira seminggu selepas kehilangan itu, pasukan berkenaan menemubual Felipe sebelum memperluaskan siasatan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap Ana.
Siasatan turut membabitkan pasukan analisis telefon bimbit, bahagian perkhidmatan mangsa, unit analisis tingkah laku, makmal FBI, akauntan forensik serta sejumlah ejen lain.
Kerjasama turut diberikan Jabatan Kehakiman AS, pegawai kedutaan AS dan Pejabat Pemeriksa Perubatan Miami-Dade.
Di peringkat antarabangsa, siasatan membabitkan pihak berkuasa serta agensi penguat kuasa dari Sepanyol, Colombia, Itali, Perancis, Serbia dan Croatia, selain Interpol.
Andre, ejen khas daripada Bureau of Diplomatic Security, U.S. Department of State, berkata kerjasama antarabangsa memainkan peranan penting dalam membina kes berkenaan dan menjejaki pergerakan David.
Jejak David dirungkai
Rakaman kamera keselamatan serta bukti elektronik seperti data menara telekomunikasi, analisis nombor pendaftaran dan maklumat daripada sistem hiburan serta komunikasi kenderaan membantu penyiasat membina semula laluan perjalanan David.
Jejak itu merentasi tujuh negara, termasuk kemungkinan persinggahan di sebuah kedai perkakasan di Madrid sebelum dia tiba di bangunan kediaman Ana.
Andre berkata penyiasat sudah membina semula laluan perjalanan David, namun masih perlu menentukan lokasi jasad Ana.
FBI kini menggesa orang ramai yang mungkin melihat Ana, David atau kereta sewa berwarna biru gelap jenis Peugeot 308 keluaran 2019 dengan cermin belakang berwarna gelap, antara Sepanyol dan Serbia dari 2 hingga 5 Februari 2024, tampil memberikan maklumat.
Penyiasat turut berharap orang ramai dapat mengenal pasti dua barangan peribadi milik Ana yang tidak ditemukan di kediamannya iaitu seutas rantai leher dan sebuah jurnal.
Jurnal itu berwarna biru muda, mempunyai corak burung seakan mandala berwarna hitam pada bahagian muka depan dan tulang belakang, tepi jahitan, helaian putih serta penanda buku kain berwarna biru.
Rantai leher berkenaan pula mempunyai perincian berwarna hitam, biru, merah dan kuning.
Sebarang maklumat mengenai barangan itu, perjalanan David atau individu yang pernah berhubung dengannya selepas kehilangan Ana berpotensi membantu penyiasat menentukan lokasi jasad wanita berkenaan.
Petunjuk DNA
Beberapa hari sebelum David meninggal dunia, penyiasat turut memperoleh satu perkembangan penting apabila DNA lelaki itu mempunyai kaitan dengan lokasi kejadian.
Emma berkata, waran penggeledahan bagi mendapatkan sampel DNA David telah disediakan sebelum sampel berkenaan diperoleh. Sampel itu kemudiannya dibandingkan dengan profil DNA yang ditemui di lokasi kejadian.
Emma berkata sampel itu sepadan dengan profil DNA pada tombol pintu bahagian dalam apartmen Ana.
Penemuan itu memberikan petunjuk baharu kepada penyiasat yang ketika itu masih mempunyai kira-kira dua bulan sebelum perbicaraan kes.
Siasatan juga masih berjalan dan bukti lain sedang dianalisis apabila David meninggal dunia.
Menurut pasukan penyiasat, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka percaya jasad Ana masih berkemungkinan ditemukan.
Antaranya, pemeriksaan tempat kejadian oleh penyiasat Sepanyol tidak menemukan tanda jelas berlaku pergelutan ganas di dalam apartmen Ana.
Selain itu, rakaman kamera keselamatan kelihatan menunjukkan David keluar dari bangunan sambil menarik beg beroda yang dipercayai mungkin mengandungi jasad Ana.
Tempoh masa yang dipercayai dilaluinya di lokasi tersebut juga dianggap tidak mencukupi untuk melakukan proses memotong atau melupuskan jasad secara sedemikian.
Faktor lain ialah perjalanan pulang David ke Serbia tidak mengambil masa yang jauh lebih lama berbanding perjalanan awalnya dari Serbia ke Madrid.
Kini, lebih dua tahun selepas kehilangan Ana, penyiasat masih menjejaki setiap petunjuk yang boleh membawa mereka kepada lokasi terakhir jasad wanita berkenaan.







