KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER 2026 - AG Autoworld meraikan ulang tahun pertama AG Club, program keistimewaan gaya hidup eksklusif yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pelanggan selepas pembelian kenderaan.
Sebagai antara pengedar rasmi PROTON terkemuka di Malaysia, AG Autoworld berkata AG Club diwujudkan bagi menghargai kesetiaan pelanggan menerusi pengalaman dan ganjaran yang melangkaui pemilikan kenderaan.
Program berkenaan kini mempunyai rangkaian 21 rakan kerjasama, termasuk SWS 28, Hock Kee Kopitiam dan Columbia Asia Hospital, yang menawarkan keistimewaan dalam kategori makanan dan minuman, pendidikan, kekeluargaan, kesejahteraan, peruncitan serta perkhidmatan automotif.
Sempena ulang tahun pertama AG Club, AG Autoworld turut melancarkan AG Kids Club yang memperluaskan manfaat program itu kepada anak-anak ahli berusia 12 tahun ke bawah.
AG Kids Club menawarkan pelbagai aktiviti termasuk lawatan pendidikan, bengkel STEM dan kreatif, kelas pengucapan awam, aktiviti kesejahteraan serta pengalaman pemanduan seperti LEGOLAND® Driving School.
Program berkenaan turut merangkumi inisiatif bermusim seperti kempen kembali ke sekolah, keistimewaan hari jadi, ganjaran eksklusif daripada rakan kerjasama serta baucar khas untuk keluarga.
Pada masa sama, AG Kids Club berfungsi sebagai platform CSR dan ESG jangka panjang dengan kerjasama organisasi seperti Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) dan BELove Cancer Society, selain rakan korporat, institusi pendidikan serta komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada komitmen itu, RM3 daripada setiap kenderaan yang dijual oleh AG Autoworld akan disalurkan ke AG Kids Club Future Fund bagi membiayai inisiatif berkaitan CSR dan ESG, termasuk pendidikan, pembangunan kanak-kanak, program komuniti, kelestarian alam sekitar serta aktiviti sukarelawan keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif AG Autoworld, Janessa Kuek, berkata AG Kids Club merupakan lanjutan kepada AG Club yang membuka peluang kepada kanak-kanak untuk belajar, keluarga mengeratkan hubungan dan rakan kerjasama mencipta impak positif kepada generasi akan datang.
Menurutnya, melalui Future Fund, setiap kenderaan yang dijual bukan sahaja memberikan nilai kepada pemilik, malah turut menyumbang kepada usaha yang lebih bermakna untuk masyarakat.
Dengan pengenalan AG Kids Club, AG Autoworld kini memperluaskan konsep pemilikan kenderaan kepada sebuah ekosistem gaya hidup yang merangkumi keistimewaan pelanggan, pengalaman keluarga dan sumbangan kepada komuniti.







