Promosi servis ‘boosting’, pemain profesional Call of Duty kena ban
Wakil Call of Duty kemudiannya memberikan maklum balas dengan menyiarkan semula satu hantaran yang telah dipadam, yang memaparkan Nero menawarkan perkhidmatan meningkatkan kedudukan (rank boosting) kepada pemain lain.
September 27, 2026 • 5:43 AM 2 min read • 37 views
SEORANG pemain profesional permainan video Call of Duty, Dylan 'Nero' Koch dikenakan penggantungan sementara daripada mod permainan berperingkat (ranked) selepas didapati mempromosikan perkhidmatan meningkatkan kedudukan akaun kepada pemain lain.
Pada 24 September lalu, Nero mendedahkan akaun utamanya digantung daripada menyertai permainan ranked.
Ketika cuba memasuki mod berkenaan, dia menerima notifikasi bahawa akaunnya atau akaun salah seorang anggota kumpulannya sedang dalam semakan dan buat sementara waktu tidak dibenarkan menyertai perlawanan berperingkat.
Pemain E-sukan itu pada mulanya menganggap berlaku kesilapan sebelum mendapatkan bantuan daripada pasukan komuniti rasmi Call of Duty.
Bagaimanapun, wakil Call of Duty kemudiannya memberikan maklum balas dengan menyiarkan semula satu hantaran yang telah dipadam, yang memaparkan Nero menawarkan perkhidmatan meningkatkan kedudukan (rank boosting) kepada pemain lain.
Perkhidmatan itu ditawarkan dalam dua cara iaitu dengan bermain menggunakan akaun pelanggan secara langsung atau melalui perlawanan secara bersama (co-op).
Menerusi kaedah kedua, pelanggan boleh meningkatkan kedudukan mereka dengan bantuan pemain yang mempunyai kemahiran lebih tinggi.
Nero kemudian menjelaskan bahawa dia mengambil keputusan menawarkan perkhidmatan berkenaan selepas melihat pemain lain memperoleh pendapatan lumayan melalui aktiviti sama.
Menurutnya, dia sekadar mahu mencuba sendiri namun mengakui sudah tidak lagi menjalankan perkhidmatan tersebut.
Promosi 'boosting' Ranked Play Black Ops 7 Musim 6 oleh Nero (@NEROPOISON)
Ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan yang bakal dikenakan, Nero mendakwa ramai pemain menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Dalam hantaran lain, dia turut menyatakan pandangannya bahawa mesej daripada pemain profesional yang mencari akaun pada tahap kedudukan tertentu sering kali mempunyai kaitan dengan aktiviti meningkatkan rank.
Tindakan Nero itu bagaimanapun mengundang kritikan dalam kalangan pemain yang menyifatkan tindakannya sebagai tidak bijak kerana mempromosikan perkhidmatan berkenaan secara terbuka sebelum cuba memberikan alasan bahawa amalan tersebut turut dilakukan pemain lain.
SponsoredAdvertisement
Syarikat penerbit Call of Duty, Activision secara jelas mengklasifikasikan aktiviti boosting sebagai satu pelanggaran peraturan.
Berdasarkan dasar keselamatan dan penguatkuasaan syarikat itu, usaha mengeksploitasi permainan bagi mendapatkan pengalaman, status prestij, skor permainan, peningkatan tahap senjata atau membuka kandungan dalam permainan secara tidak sewajarnya boleh dianggap melanggar syarat penggunaan.
Nero dilaporkan sudah menceburi persaingan profesional Call of Duty selama kira-kira lapan tahun.