AMERIKA SYARIKAT, 23 Oktober 2026 — Organisasi e-sukan dari Amerika Utara, Evil Geniuses (EG), mengumumkan akan menghentikan semua aktiviti kompetitif dan operasi hariannya bermula 2 November ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi platform X dan laman web rasmi organisasi berkenaan pada Selasa, manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Chris DeAppolonio, turut berkongsi surat berasingan menerusi LinkedIn.
“Evil Geniuses akan menghentikan operasi kompetitif dan harian berkuat kuasa 2 November 2026,” menurut kenyataan rasmi EG.
Menurut DeAppolonio, organisasi itu menghabiskan beberapa tahun kebelakangan ini untuk menyusun semula operasinya, termasuk menstabilkan perniagaan, memulihkan reputasi, meningkatkan jumlah pengikut, meluaskan penyertaan dalam permainan baharu serta mengembangkan barisan pencipta kandungan.
Bagaimanapun, industri e-sukan terus berdepan cabaran akibat peluang penajaan yang terhad dan peningkatan kos untuk bersaing pada peringkat tertinggi.
Akhirnya, EG memutuskan bahawa perniagaan itu tidak lagi dapat diuruskan secara bertanggungjawab dalam keadaan industri ketika ini.
EG juga tidak terpilih sebagai rakan kongsi VALORANT Champions Tour (VCT) bagi kitaran baharu pada 2027, yang bermakna organisasi itu tidak akan menerima sokongan kewangan perkongsian daripada Riot Games. Perkembangan mengenai perkongsian VCT itu turut dilaporkan VLR.gg.
EG berjanji akan melaksanakan proses penutupan operasi secara teratur serta memberikan sokongan kepada semua pemain, jurulatih dan kakitangannya.
Semua pemain juga sudah dibenarkan mengadakan perbincangan dengan organisasi lain bagi mencari peluang baharu.
Barisan pemain VALORANT pula boleh menandatangani kontrak baharu selepas musim 2026 berakhir pada 2 November, iaitu tarikh sama EG menghentikan operasinya.
DeAppolonio turut menggesa organisasi e-sukan lain supaya mempertimbangkan bakat yang dimiliki EG, selain menyatakan kesediaannya untuk memberikan sokongan peribadi terhadap setiap pemain, pencipta kandungan dan kakitangan organisasi itu.
EG bukan organisasi besar pertama yang menamatkan operasi pada tahun ini. Pada 23 September lalu, Complexity mengumumkan penutupan operasinya selepas 23 tahun dalam industri e-sukan.
Sebelum ini, evil Geniuses ditubuhkan pada 1999 di Pulau Vancouver oleh lima pemain permainan Quake sebelum organisasi itu menyertai arena Counter-Strike pada 2001.
Antara pencapaian terbesar EG ialah menjuarai The International 2015 bagi permainan Dota 2 dengan hadiah wang tunai melebihi AS$6 juta.
Barisan pemain ketika itu turut menampilkan Sumail “SumaiL” Hassan dari Pakistan yang baru berusia 16 tahun. Beliau kekal sebagai pemain termuda dalam sejarah yang menjuarai The International.
Dalam permainan VALORANT, EG turut mencipta kejayaan apabila memenangi VALORANT Champions 2023 menerusi barisan pemain yang termasuk Ethan Cole “Ethan” Arnold dari Amerika Syarikat.
Ethan sebelum itu pernah mewakili EG dalam Counter-Strike sebelum beralih ke VALORANT. Pada 2025, beliau sekali lagi menjuarai Champions, kali ini bersama NRG.
Selain itu, EG turut meraih kejuaraan dalam permainan pertarungan menerusi pemain seperti Dominique “SonicFox” McLean, serta dalam Call of Duty.
Organisasi itu juga pernah mencuba nasib dalam League of Legends, Rocket League, StarCraft II dan Rainbow Six Siege.
Penglibatan pertama EG dalam Counter-Strike berlangsung dari 2001 hingga 2012 sebelum organisasi itu kembali pada September 2019 menerusi pengambilalihan barisan pemain NRG yang terdiri daripada Peter “stanislaw” Jarguz, Tarik “tarik” Celik, Vincent “Brehze” Cayonte, Ethan dan Tsvetelin “CeRq” Dimitrov. Latar kembalinya EG ke Counter-Strike turut direkodkan HLTV.
Ketika itu, pasukan berkenaan baru sahaja menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik di StarLadder Berlin Major 2019 dan menduduki tangga keempat ranking HLTV. Kebangkitan EG selepas kembali ke arena Counter-Strike berlangsung dengan cukup cemerlang.
Hanya beberapa hari selepas pengambilalihan itu, EG menjuarai ESL One New York 2019 dengan menewaskan Astralis 3-1 pada perlawanan akhir.
Pasukan itu kemudian memenangi StarSeries i-League Season 8 sebelum menduduki tangga pertama ranking HLTV, sekali gus menjadi antara sebilangan kecil pasukan dari Amerika Utara yang pernah mencapai kedudukan tersebut.
Antara kejuaraan Counter-Strike yang diraih EG selepas kembali ke arena berkenaan ialah ESL One New York 2019, StarSeries i-League Season 8, BLAST Premier Spring 2020 Americas Finals, cs_summit 6 North America dan ESL One Cologne 2020 North America. Tiga kejohanan terakhir itu berlangsung secara dalam talian.
Bagaimanapun, pencapaian terbaik EG dalam kejohanan Major di bawah nama organisasi itu selepas kebangkitan berkenaan ialah mara ke peringkat Legends di Stockholm Major 2021.
Selepas pertandingan kembali berlangsung secara bersemuka menerusi format rangkaian kawasan setempat (LAN), prestasi pasukan itu gagal kembali ke tahap sebelumnya.
Sepanjang empat tahun, sekurang-kurangnya 18 pemain dan 10 jurulatih silih berganti dalam barisan utama pasukan berkenaan.
Projek bercita-cita tinggi Blueprint yang dirancang untuk membangunkan bakat e-sukan dari Amerika Utara juga gagal menghasilkan barisan pemain yang mampu bersaing secara konsisten.
Dalam saingan ESL Pro League, EG menamatkan kempen di kedudukan tercorot sebanyak empat musim dan tidak pernah berjaya mara ke peringkat kalah mati.
Pada penghujung 2023, EG menjual slot BLAST Premier kepada Cloud9 sebelum menarik diri daripada perjanjian kerjasama dengan ESL.
Pada 12 Januari 2024, organisasi itu secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada arena Counter-Strike.
Keputusan menghentikan keseluruhan operasi pada November ini sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan sebuah organisasi yang pernah menjadi antara nama besar dalam sejarah e-sukan dunia.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Dari arena e-sports ke dunia AI, langkah baharu Global Esports










