KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 — Beban kewangan bersih kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggarkan RM20.1 bilion selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset RM31.3 bilion.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis menyatakan anggaran itu mengandaikan tiada pemulihan tambahan pada masa hadapan.
Jumlah keseluruhan obligasi ialah RM51.4 bilion. Kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion sejak mengambil alih tanggungan pada April 2017, termasuk prinsipal RM27.7 bilion serta faedah dan komitmen lain RM14.8 bilion.
Baki komitmen Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, meliputi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039.
MOF turut menyatakan perkembangan hukuman jenayah atau pengampunan seseorang tidak dengan sendirinya menamatkan tuntutan sivil untuk mendapatkan semula dana.
“Tuntutan sivil mempunyai asas tindakan dan proses pembuktian yang berbeza daripada prosiding jenayah,” menurut MOF dipetik dari Bernama.
Kementerian menyatakan usaha pemulihan akan diteruskan melalui saluran undang-undang untuk mengurangkan tanggungan kewangan negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menyangkal dakwaan hutang 1MDB sudah selesai. Beliau berkata, kerajaan masih menanggung bayaran hutang dan faedah berkaitan ketika berucap pada perhimpunan bulanan MOF di Putrajaya.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Anwar sangkal dakwaan hutang 1MDB sudah selesai
Anwar tegaskan pendirian antirasuah selepas pengampunan bersyarat Najib










