JAKARTA, 22 Oktober 2026 — Indonesia merekodkan 565 titik panas berkeyakinan tinggi pada Khamis, berbanding lebih 1,200 pada 14 Oktober, menurut data pemantauan Sipongi yang dilaporkan Reuters.
Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, penurunannya masih berubah-ubah dan tidak sekata, manakala hujan berselerak belum mencukupi untuk memadamkan kebakaran.
“Matlamatnya ialah mencegah kebakaran baharu dan memastikan kebakaran yang sudah dipadam tidak menyala semula,” kata Berton.
Beliau berkata, usaha pemadaman dan rondaan akan diteruskan.
Dalam perkembangan operasi pada Rabu, Ketua BNPB, Kristomei Sianturi berkata, pengubahsuaian cuaca menggunakan gabungan ais kering membantu menurunkan hujan di tiga wilayah, menurut laporan detikNews.
Kristomei berkata, hujan direkodkan di 13 daerah Kalimantan Barat, selain Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan. Lima penerbangan operasi dijalankan di Kalimantan Tengah dan satu di Sumatera Selatan pada hari itu.
Beliau turut menyatakan jarak penglihatan yang sebelumnya di bawah satu kilometer meningkat kepada tujuh kilometer selepas operasi berkenaan.
Menurut Kristomei, Riau dikeluarkan daripada senarai wilayah keutamaan, manakala Papua Selatan, Sulawesi Tengah dan Kalimantan Timur dimasukkan kerana masih mempunyai titik api.
Sebelum ini, Kementerian Perhutanan Indonesia dalam kenyataan pada 9 Oktober menjelaskan titik panas ialah petunjuk anomali suhu permukaan daripada satelit, bukannya jumlah kejadian kebakaran atau keluasan terbakar. Satu kebakaran boleh menghasilkan beberapa titik panas dan memerlukan pengesahan di lapangan.
Kementerian itu turut menjelaskan bara di kawasan gambut boleh bertahan serta merebak di bawah permukaan walaupun api di atas tanah tidak lagi kelihatan. Pembasahan dan penyejukan diteruskan bagi memastikan lokasi selamat.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Jerebu bukan Malaysia lawan Indonesia, Syed Saddiq jawab kritikan Lutfi
Prabowo arah siasatan menyeluruh penglibatan syarikat dalam kebakaran hutan
Indonesia gantung permit enam syarikat lagi, 32 dikenakan tindakan
Bantuan asing padam kebakaran Indonesia masih tertangguh
Polis Indonesia siasat penglibatan asing dalam kes kebakaran korporat
Titik panas Indonesia melonjak kepada 1,104, Kalimantan paling terjejas










