MANILA, 11 Oktober 2026 — Gunung Kanlaon di Pulau Negros, Filipina mengalami letusan pada Sabtu yang menghasilkan kepulan abu setinggi lima hingga enam kilometer di atas kawah puncaknya.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) memaklumkan letusan sederhana eksplosif itu berlaku sekitar pukul 12.46 tengah hari dan berakhir kira-kira pukul 12.48 tengah hari waktu tempatan, menurut DZRH. Waktu Filipina sama dengan waktu Malaysia.
“Kejadian itu menghasilkan kepulan yang naik lima hingga enam kilometer di atas kawah puncak sebelum bergerak ke arah utara-timur laut,” menurut kenyataan PHIVOLCS yang dipetik DZRH.
Tahap amaran Kanlaon kekal pada aras dua, yang menunjukkan peningkatan pergolakan gunung berapi.
Pejabat Pertahanan Awam Wilayah Pulau Negros melaporkan hujan abu dan bau sulfur di Sitio Gintubdan, Barangay Ara-al di La Carlota, serta Barangay Igmayaan dan Kumaliskis di Don Salvador Benedicto, menurut Brigada News.
Majlis Kebangsaan Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana (NDRRMC) pada Sabtu meminta penduduk Negros Occidental serta Negros Oriental mengambil langkah berjaga-jaga terhadap hujan abu.
Penduduk dinasihatkan memakai pelitup muka yang sesuai dan pelindung mata, berada di dalam bangunan jika boleh serta menutup pintu dan tingkap apabila berlaku hujan abu. Pihak berkuasa tempatan sekitar gunung itu turut meminta penduduk berwaspada, menurut Daily Tribune.
Sebelum ini, pemantauan PHIVOLCS sepanjang Jumaat merekodkan 16 gempa gunung berapi. Pelepasan sulfur dioksida pada Jumaat pula diukur pada kadar 2,138 tan metrik sehari.
Pemantauan perubahan bentuk permukaan turut menunjukkan pengembangan gunung itu yang diselang-seli tempoh pengecutan singkat, menurut laporan PHIVOLCS yang dipetik DZRH.







