NARATHIWAT, 18 Oktober 2026 — Seorang anggota polis maut manakala dua anggota renjer sukarela cedera dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata di daerah Si Sakhon, wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada Sabtu.
Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu Thailand di Ban Tueng Ngo, Mukim Sri Banphot, ketika pasukan keselamatan menjalankan operasi mengawal kawasan.
Anggota polis yang terbunuh dikenal pasti sebagai Sarjan Saroj Lommuan, 51. Kenyataan awal ISOC 4 turut melaporkan seorang anggota kumpulan bersenjata maut. Bagaimanapun, The Reporters melaporkan tiga suspek ditemukan maut selepas pemeriksaan di sebuah rumah yang menjadi lokasi operasi.
Menurut laporan itu, pasukan gabungan polis dan tentera mengepung rumah berkenaan selepas menerima maklumat mengenai individu dikehendaki serta anggota kumpulan bersenjata yang disyaki bersembunyi di situ. Suspek dilaporkan melepaskan tembakan ketika anggota keselamatan menghampiri rumah tersebut.
ISOC 4 menyatakan, dua renjer sukarela yang cedera ialah Pichet Bannasri, 34, yang mengalami kecederaan di kepala dan belakang, serta Kiattisak Maneechan, 35, yang cedera di bahagian kiri pinggang dan belakang.
Dalam kenyataan susulan pada Sabtu, ISOC 4 memaklumkan kedua-duanya sudah dipindahkan ke Hospital Narathiwat Rajanagarindra pada pukul 2.04 petang waktu Thailand. Pichet dibawa menggunakan pesawat dari Hospital Si Sakhon, manakala Kiattisak dipindahkan dengan ambulans.
“Orang ramai diminta mengelak kawasan kejadian dan kawasan berhampiran sehingga terdapat pengumuman perubahan daripada pihak berkuasa,” kata ISOC 4 menerusi kenyataan di laman rasminya.
Dalam peringatan yang dikeluarkan pada Sabtu, pihak berkuasa turut meminta orang ramai mengikuti maklumat rasmi serta tidak menyebarkan gambar atau maklumat kejadian yang belum disahkan.
Sebelum itu, ISOC 4 pada Jumaat melaporkan seorang anggota sukarelawan pertahanan wilayah maut ditembak di daerah Mai Kaen, Pattani, kira-kira pukul 1.30 petang. Seorang lagi lelaki yang cedera dan disyaki terlibat dalam serangan itu turut meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Bagi pertempuran di Narathiwat, The Reporters melaporkan pihak berkuasa merampas dua raifal M16 serta peluru dan mengumpulkan bukti forensik di rumah berkenaan.







